Kerajaan terus kekang propaganda Israel di media sosial - Fahmi

Iklan
Fahmi (tiga dari kanan) bergambar bersama sukarelawan misi GSF ketika melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia Central Warehouse pada Ahad.

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan terus memperhebat usaha mengekang propaganda Zionis Israel yang didakwa cuba memanipulasi maklumat serta algoritma di platform media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tegas telah diambil bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terperangkap dengan penularan maklumat palsu yang boleh menjejaskan solidariti terhadap perjuangan Palestin.

Iklan
Iklan

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaksanakan pemantauan rapi serta mengadakan pertemuan berterusan bersama syarikat gergasi media sosial.

“Dalam beberapa perkara, sewaktu saya memanggil pihak TikTok, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan, Kementerian Komunikasi dan SKMM, mengkritik keras pelantikan seorang pegawai yang merupakan bekas pelatih Tentera Pertahanan Israel (IDF) menjadi pegawai TikTok di New York dengan gaji besar.

Iklan

“Sudah pasti keberadaan seorang yang pernah melatih pasukan IDF itu bukanlah mesej baik untuk ekosistem TikTok. Jadi kami telah memberi penegasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pada Ahad.

Iklan

Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan maklumat dan cubaan pihak tertentu menggunakan platform digital bagi menyebarkan agenda Israel.

Ujarnya, kerajaan juga pernah menegur syarikat Meta Platforms Inc (Meta) selepas kandungan dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Palestin diturunkan tanpa alasan munasabah.

“Entiti seperti Meta mengakui Perdana Menteri selaku ketua kerajaan, dan sebagai sebuah negara berdaulat seperti Malaysia, kita berhak menyatakan pendirian.

“Hasil daripada pertemuan berterusan dengan syarikat-syarikat itu, kami percaya ia memberi isyarat jelas kepada platform tersebut.

“Kami berharap pada masa akan datang, kami dapat terus menghalang algoritma yang mengandungi propaganda rejim Zionis daripada memasuki Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap penyebaran berita palsu, khususnya berkaitan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Contohnya, ada dakwaan kononnya kapal GSF telah diserang komando Israel sedangkan ia tidak berlaku. Inilah bentuk propaganda yang cuba dimainkan.

“Saya percaya dari segi perundangan dan perlindungan yang boleh diberikan kepada peserta GSF, mereka tidak melakukan apa-apa yang salah.

“Ini adalah kawasan perairan antarabangsa dan tidak ada sekatan yang wajar. Laluan yang digunakan untuk misi GSF ini juga adalah laluan bebas,” ujarnya.