BUDI95: KPKM bincang MOF selaras subsidi petrol untuk petani, pesawah

Iklan
Mohamad (tengah) ketika melancarkan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting pada Ahad.

TASEK GELUGOR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menjalankan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi menyelaraskan mekanisme pemberian subsidi petrol Program Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk golongan petani dan pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu dibuat susulan pihaknya menerima aduan daripada golongan berkenaan yang mendakwa subsidi bahan api sebanyak 300 liter sebulan tidak mencukupi bagi tujuan pertanian.

Iklan
Iklan

“Ya, kita ada terima aduan daripada golongan petani dan pesawah berhubung pemberian subsidi petrol BUDI95 (tidak cukup 300 liter) dan Ketua Setiausaha Kementerian sedang menyelaraskan perkara itu untuk tindakan segera.

“Kita berusaha memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada mereka yang terbabit dalam pertanian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting di sini pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) menyarankan kerajaan mewujudkan kad petrol khas pesawah bagi memastikan golongan itu mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.

Koordinatornya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat selepas melihat inisiatif BUDI95 tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol untuk kelangsungan kerja pesawah di bendang.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan seperti sistem subsidi nelayan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kad ini mestilah membolehkan pesawah membeli petrol bersubsidi bagi peralatan kecil mereka, manakala bagi penggunaan diesel pula, perlu diwujudkan mekanisme khusus untuk penyedia perkhidmatan pertanian termasuk pengusaha mesin padi, traktor, jentolak, jengkaut, lori padi dan lain-lain,” katanya.