ISU kos sara hidup yang semakin meningkat terus menjadi cabaran besar rakyat Malaysia, terutama golongan B40 dan M40. Beban perbelanjaan isi rumah untuk makanan, perkhidmatan, pendidikan, dan kesihatan semakin terasa sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Akibatnya, ramai keluarga terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian, malah ada yang menangguhkan keperluan penting.
Dalam keadaan mencabar ini, pendekatan baharu yang wajar diberi perhatian ialah meningkatkan kemahiran asas dan profesional melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan secara 'work from home (WFH)' atau 'work from everywhere (WFE)'.
Sebenarnya kemahiran teknikal dalam kalangan ahli keluarga boleh memberi kesan langsung dalam isu kos sara hidup. Kerja asas yang biasanya diupah orang luar seperti membaiki komputer, servis motosikal, menjahit pakaian, menghasilkan grafik, kerja paip atau pendawaian kecil boleh dilakukan sendiri. Jika diupah, perkhidmatan ini boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.
Lebih menarik, kemahiran itu juga boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Seorang suri rumah yang mahir menjahit boleh mengambil tempahan kecil di kejiranan. Anak muda dengan sijil kursus komputer jangka pendek boleh menawarkan khidmat reka bentuk laman web atau penyelenggaraan sistem.
Seorang pesara pula boleh menggunakan kemahiran membaiki peralatan elektrik untuk membantu jiran sambil memperoleh pendapatan tambahan. Maka, TVET bukan sekadar cara menjimatkan perbelanjaan isi rumah, malah membuka pintu ekonomi baharu untuk keluarga.
Penting difahami bahawa TVET kini tidak lagi terhad kepada bidang teknikal seperti membaiki enjin kereta atau elektrik semata-mata. Bidangnya semakin meluas, termasuk kemahiran yang relevan dalam kehidupan seharian.
Antara bidang tersebut ialah pengurusan kewangan peribadi dan keluarga untuk mengawal hutang serta merancang pelaburan kecil; pemasaran produk tempatan melalui platform digital; pengurusan acara; komunikasi digital; khidmat pelanggan; dan keusahawanan. Pendekatan ini menjadikan TVET sebagai satu bentuk kemahiran hidup yang menyeluruh, bukan sekadar teknikal.
Persoalan utama ialah bagaimana melaksanakan TVET dari rumah, terutama bagi mereka tanpa latar belakang teknikal. Jawapannya ialah melalui kursus pendek yang fleksibel, padat dan praktikal.
Institusi teknikal negeri, politeknik, universiti, dan kolej komuniti boleh memperkenalkan modul-modul khas untuk WFH. Bahagian teori dijalankan secara dalam talian, manakala latihan praktikal boleh diadakan di bengkel komuniti atau pusat latihan industri setempat.
Sebagai contoh, kursus asas penyelenggaraan elektrik rumah boleh dijalankan selama tiga minggu iaitu minggu pertama teori keselamatan elektrik secara dalam talian, manakala minggu kedua dan ketiga latihan praktikal di bengkel komuniti dengan bimbingan juruteknik. Kursus ringkas sebegini tidak membebankan, tetapi memberi kemahiran yang boleh terus digunakan di rumah.
Bidang-bidang lain yang berpotensi tinggi termasuk teknologi maklumat, reka bentuk grafik digital, pemasangan sistem solar berskala kecil, penyelenggaraan kenderaan, pembuatan makanan berskala kecil, pertanian moden seperti hidroponik dan keusahawanan. Bidang-bidang ini bukan sahaja relevan untuk kegunaan sendiri, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan tambahan.
Kerjasama dengan industri sangat penting dalam memastikan keberkesanan program ini. Industri boleh menyumbang modul terkini, peralatan asas latihan, serta tenaga pengajar berpengalaman. Lebih utama, sijil pengiktirafan industri memberikan nilai tambah kerana ia meningkatkan kebolehpasaran peserta untuk bekerja atau mengambil upah dalam bidang tersebut.
Satu lagi kelebihan TVET dari rumah ialah ia tidak memerlukan masa bertahun-tahun. Kursus intensif antara dua minggu hingga tiga bulan sudah memadai. Dari segi kos, kerajaan dan institusi pendidikan boleh menawarkan subsidi atau geran latihan agar ia benar-benar mampu milik. Sebagai contoh, kursus pendek boleh ditawarkan dengan bayaran minimum antara RM50 hingga RM200 sahaja.
Manfaatnya amat besar. Pertama, isi rumah dapat berjimat kerana tidak perlu mengupah orang luar. Kedua, kemahiran yang diperoleh boleh dijadikan pendapatan tambahan. Ketiga, masyarakat lebih berdikari, produktif, dan selari dengan agenda negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Lebih penting, pendekatan ini inklusif — terbuka kepada pelajar lepasan sekolah, graduan, suri rumah, pesara, pekerja sektor tidak formal, malah sesiapa sahaja yang mahu meningkatkan kemahiran.
Kerajaan negeri, institusi pendidikan dan pihak industri perlu berganding bahu menjadikan idea ini satu realiti. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, inisiatif sebegini adalah jawapan praktikal, inklusif, dan berkesan untuk membina keluarga sejahtera serta negara yang makmur.
* Dr Muhidin Arifin ialah seorang pakar TVET dan penerima Anugerah Personaliti Cemerlang di bawah kategori Pembangunan Kemahiran dan Bakat sempena ‘Malaysia Education & TVET Awards’ (META)