'Hasil negeri dikembalikan' - 14,408 penyewa PPR, RSK di Johor terima RM200

Iklan
Mohd Jafni (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kasih Johor kepada penerima di PPR Melana di Johor Bahru pada Ahad.

JOHOR BAHRU – Seramai 14,408 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri ini bakal menerima Bantuan Kasih Johor berupa tunai RM200 secara one-off dengan nilai keseluruhan RM2.88 juta.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pengagihan yang bermula pada Ahad itu melibatkan 1,160 penerima di PPR Melana 1 pada sebelah pagi dan 1,440 penerima di PPR Melana 2 pada petang.

Iklan
Iklan

“Secara keseluruhan, seramai 11,182 penghuni PPR dan 3,226 penghuni RSK akan menerima manfaat ini. Agihan dijangka selesai sepenuhnya sebelum 20 Oktober 2025,” katanya pada majlis penyampaian bantuan berkenaan di PPR Melana di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada 42 inisiatif tambahan Belanjawan Johor berjumlah RM209 juta yang memberi manfaat kepada hampir 1.9 juta rakyat.

Iklan

“Walaupun nilainya sederhana, maknanya sangat besar khususnya kepada ibu bapa dan warga emas. Ia juga membuktikan hasil pertumbuhan negeri dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk program, pembangunan dan inisiatif kebajikan," jelasnya.

Menurut Mohd Jafni, Johor terus melangkah dengan gagah sebagai enjin pertumbuhan negara sekali gus menjadi tanda keyakinan pelabur, dan hasilnya kini dikembalikan semula kepada rakyat.

Iklan

"Tahun lalu, Johor mencatat pertumbuhan KDNK 6.4 peratus iaitu tertinggi di Malaysia dan hingga suku kedua 2025, nilai pelaburan diluluskan mencecah RM56 bilion.

"Johor bukan sekadar membangun dari segi fizikal, tetapi juga menyantuni rakyat dengan penuh kasih sayang. Inilah yang membezakan Johor sebagai negeri yang maju ekonominya, besar pelaburannya tetapi tetap lembut hatinya terhadap rakyat," ujarnya.