JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memperjuangkan isu maruah bola sepak negara yang kini menjadi perhatian badan induk dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, seluruh rakyat Malaysia mesti berdiri teguh dan bersatu hati mempertahankan pasukan kebangsaan agar tidak diperlekehkan di peringkat antarabangsa.
“Maruah negara adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Isu berhubung laporan dokumen tidak wajar dijadikan alasan untuk merendah-rendahkan Malaysia.
“Hakikatnya, setiap proses penilaian oleh FIFA telah melalui tapisan ketat, manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut melaksanakan tanggungjawab dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Larkin itu turut menyeru seluruh Exco Sukan negeri, menteri serta pihak berkepentingan lain untuk bersama-sama menunjukkan solidariti mempertahankan kepentingan negara.
“Inilah masanya kita bersatu, bukan menuding jari mencari salah. Apa yang lebih utama adalah memastikan Harimau Malaya tidak dihina di pentas antarabangsa,” ujarnya lagi.
Menurut Mohd Hairi, kepimpinan baharu FAM kini sedang berusaha merejuvenasi skuad kebangsaan dan usaha itu wajar mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.
“Harimau Malaya bukan sekadar pasukan bola sepak, ia adalah simbol maruah Malaysia. Maruah ini mesti kita pertahankan bersama,” katanya.
Pada Sabtu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM serta tujuh pemain warisan tanpa alasan kukuh.
Baginda yang juga penggerak revolusi Harimau Malaya menegaskan FAM telah mengikuti segala proses dengan kerjasama rapat bersama FIFA dan kerajaan Malaysia, malah perkara itu turut mendapat kelulusan badan induk bola sepak dunia tersebut sebelum ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.
Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menerusi kenyataan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, FAM didapati mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Susulan laporan rasmi yang diterima selepas aksi tersebut, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta).
Sementara itu, setiap pemain terbabit turut menerima hukuman denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.