SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu meringankan beban pengajian seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid atau lebih dikenali sebagai Alis, yang juga merupakan anak yatim piatu.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan memastikan bantuan segera disalurkan terutamanya bagi persediaan pendaftaran pengajian pada Sabtu.
"Insya-ALLAH, Mara akan bantu mengurangkan beban pengajian Adik Alis di UPSI, khususnya dalam urusan pendaftaran hari ini.
"Saya juga akan mengambilnya sebagai anak angkat agar beliau dapat dibantu secara bulanan sehingga tamat pengajian kelak," katanya menerusi sebuah hantaran video di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, kisah Alis dimuat naik oleh ceokuterer menerusi laman TikTok, sejak berusia 17 tahun sudah bergelar yatim piatu setelah kehilangan ibu pada 2022 dan bapa setahun sebelum itu.
Namun, dia cukup tabah menguruskan hidup seorang diri sudah tiga tahun hanya tinggal di rumah sewa yang perlu dibayar RM200 sebulan, Alis bekerja sebagai jurulatih silat secara sambilan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.
Namun kecekalannya untuk habiskan belajar sambil bekerja membuahkan hasil apabila diterima masuk ke UPSI.
Menurut Asyraf Wajdi, kisah kegigihan Alis wajar dijadikan inspirasi kepada anak-anak muda lain, khususnya golongan kurang bernasib baik.
"Moga kisah Adik Alis ini menjadi perangsang kepada ribuan anak-anak di luar sana. Seorang anak yatim piatu yang tabah, tidak pernah berputus asa untuk berjaya walaupun terpaksa bekerja sambil belajar sejak di bangku sekolah menengah demi mengejar cita-cita menjadi seorang guru," ujarnya.