Alumni angkat warisan 78 tahun SK Bukit Awang

Iklan
Persatuan Alumni SKBA akan berperanan membantu pembangunan sekolah secara menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, akademik serta kebajikan murid dan warga pendidik SK Bukit Awang.

SELEPAS 78 tahun tertubuh sebagai institusi pendidikan rakyat, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan mencatat satu detik bersejarah pada 5 Februari lalu dengan tertubuhnya Persatuan Alumni SKBA sebagai satu inisiatif penting bagi menyatukan bekas pelajar serta memobilisasi kekuatan alumni demi pembangunan berterusan sekolah.

Penubuhan jawatankuasa penaja Persatuan Alumni SKBA ini bukan sahaja menandakan kematangan perjalanan SK Bukit Awang sebagai sebuah institusi pendidikan luar bandar, malah mencerminkan kesedaran kolektif alumni untuk kembali menyumbang kepada sekolah yang telah membentuk jati diri dan kejayaan mereka.

Iklan
Iklan

SK Bukit Awang bermula sebagai Sekolah Rakyat Bukit Awang sekitar tahun 1948, hasil inisiatif dan gotong-royong masyarakat kampung sebelum era pasca-perang.

Sekolah ini pada asalnya dibina berhampiran kawasan perkuburan Bukit Awang di bawah kepimpinan tokoh pendidikan awal, Allahyarham Cikgu Nik Him.

Iklan

Menurut catatan sejarah oleh Ya Salleh @ Salahuddin (SKBA 1958–1963), mantan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Besut, pembinaan awal sekolah digerakkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat dengan sokongan pemimpin kampung.

Antaranya ialah Allahyarham Penghulu Ali yang menggunakan tanduk kerbau untuk memanggil orang kampung bergotong-royong membina jalan ke sekolah, serta Allahyarham Penghulu Che Mat dari Dalam Huma, seorang tukang yang terlibat secara langsung dalam pembinaan bangunan kayu dan papan sekolah.

Iklan

Sekitar penghujung 1950-an, sekolah ini berpindah ke tapak semasa dan masih dikenali sebagai sekolah rakyat sebelum secara rasmi dinamakan SK Bukit Awang kemudiannya.

Pentadbiran sekolah kemudiannya diperkukuh di bawah kepimpinan Allahyarham Cikgu Wan Daud yang dikenali sebagai seorang pendidik tegas, berprinsip dan berani mempertahankan integriti pendidikan walaupun berhadapan tekanan daripada pelbagai pihak.

Peranan tokoh masyarakat seperti Allahyarham Tok Ayah Haji Awang, ayah kepada Tan Sri Zulkurnain yang dikenali sebagai Tok Haji Awang Kerani juga amat signifikan sebagai penghubung antara sekolah dengan Jabatan Pendidikan Daerah ketika itu.

SK Bukit Awang di Pasir Puteh yang telah berjaya melahirkan tokoh negara, profesional dan pendidik bangsa.

Melahirkan tokoh negara, profesional dan pendidik bangsa

Antara alumni paling tersohor yang pernah dibentuk oleh SK Bukit Awang ialah Tan Sri Zulkurnain Haji Awang, seorang tokoh pentadbiran awam bertaraf nasional yang perjalanan hidupnya bermula di sekolah rakyat luar bandar ini.

Beliau bukan sekadar mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, malah pernah menerajui pelbagai institusi strategik negara termasuk sektor latihan pentadbiran awam, perkhidmatan awam dan tadbir urus pendidikan.

Dengan latar akademik yang cemerlang dari Universiti Malaya di Malaysia, Ohio University di Amerika Syarikat dan University of Leeds di England, Zulkurnain menjadi lambang kejayaan mobiliti sosial melalui pendidikan, membuktikan bahawa sekolah desa seperti SK Bukit Awang mampu melahirkan pemikir, pentadbir dan cendekiawan bertaraf antarabangsa.

Dalam dunia korporat pula, SK Bukit Awang turut mencorakkan laluan kerjaya tokoh-tokoh berpengaruh seperti Mohd Asri Haji Yusoff, mantan Pengurus Besar Takaful Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri takaful negara.

Begitu juga Rosfinah Abdul Kadir, seorang tokoh wanita yang meniti laluan pendidikan cemerlang daripada SK Bukit Awang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seterusnya ke United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Kimia sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa buah syarikat milik PETRONAS Chemicals Group.

SK Bukit Awang juga telah melahirkan barisan profesional pelbagai bidang yang memberi sumbangan langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Dalam sektor kesihatan, alumni seperti Dr Che Haslinawati Che Awang dan Dr Noor Azira Abdullah tampil sebagai doktor perubatan yang berkhidmat di hospital dan klinik, memikul amanah besar menjaga nyawa serta kesihatan rakyat.

Dalam bidang perundangan pula, SK Bukit Awang telah melahirkan peguam-peguam yang menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang, antaranya ialah Azilah Ismail, Dr Fauzana Ismail serta Fauzi Ismail.

Mereka bukan sahaja aktif dalam profesion guaman, malah berperanan memberi khidmat kepada masyarakat dan memperkukuh sistem perundangan negara.

Dalam sektor ekonomi dan pengurusan pula, alumni seperti Azimah Ishak, Pengurus Kewangan Hotel Permai, serta Che Adzha Che Adnan sebagai usahawan, membuktikan kemampuan lulusan SK Bukit Awang membina kerjaya mapan, mengurus institusi dan menjana ekonomi setempat serta nasional.

Dalam bidang pentadbiran awam, selain Zulkurnain, SK Bukit Awang turut melahirkan beberapa pentadbir berpengalaman yang berkhidmat dalam agensi-agensi utama kerajaan.

Antaranya ialah Dr Saharudin Haji Yusoff di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Nik Norhaslinda Nik Abdul Rahman di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Sudin Jusoh di Lembaga Tembakau & Kenaf Negara (LTKN); Mohd Noor Salleh di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta Yasman Hasim @ Yassin di Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Dalam dunia akademik, sumbangan SK Bukit Awang amat ketara apabila ramai alumninya berkhidmat sebagai pensyarah universiti dan institusi pengajian tinggi, antaranya ialah Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff di Universiti Utara Malaysia, Dr Norlizah Che Hasan di Universiti Putra Malaysia, Dr Nooramira Ghazali di Universiti Sultan Zainal Abidin, Badaruddin Bin Muhammad di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Lukeman Haji Yusoff di Universiti Kuala Lumpur dan Mohd Fauzi Hj Hamid di Universiti Teknologi Malaysia.

Turut menyumbang dalam landskap pendidikan tinggi ialah pensyarah di politeknik serta Institut Pendidikan Guru, termasuk tokoh akademik berpengalaman seperti Ya Salleh @ Salahuddin Mat Ali di Institut Pendidikan Guru Besut, Sarimah Che Hasan di Politeknik Shah Alam dan Nik Noor Zilawati Nik Abdul Rahman di Politeknik Sultanah Bahiyah.

Paling membanggakan, SKBA turut dikenali sebagai “kilang melahirkan guru” apabila puluhan alumninya sedang dan pernah berkhidmat sebagai pendidik di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Antaranya termasuk Kamsiah Hasim @ Yassin di SM Sains Selangor; Noriah Husin di SMK Saujana Utama; Norlaini Muhamad Pauzi di SMK Gajah Berang; Nurul Akmar Mohd Noor di SMK Darul Aman Height; Radmawani Ramli di SMK Jinjang; Rogayah Jusoh di SMK Damansara Utama; Marzuki Johari di SK Masai; Rosdi Deraman di SK Kampung Padang serta ramai lagi yang mengabdikan diri dalam dunia pendidikan baik di dalam mahupun di luar Kelantan.

Mereka menyambung kesinambungan perjuangan pendidikan dengan kembali ke sekolah-sekolah luar bandar dan bandar, mendidik generasi baharu dengan nilai, disiplin dan semangat yang pernah mereka peroleh di SK Bukit Awang.

Hakikat ini mengukuhkan peranan SK Bukit Awang sebagai penyumbang penting kepada ekosistem pendidikan nasional, bukan sekadar melahirkan murid cemerlang tetapi membentuk doktor, peguam, akademik, guru, pentadbir dan pemimpin masyarakat yang berkhidmat dengan amanah dan integriti.

Kini, SKBA menempatkan 181 orang murid termasuk murid pra-sekolah yang dibimbing oleh 18 orang guru, dengan murid-murid datang dari Kampung Gong Kala, Gong Keding, Gong Chokoh, Gong Lapang, Dalam Huma, Bukit Awang dan Gong Kemuning.

Sekolah ini kekal sebagai institusi pendidikan teras bagi komuniti setempat, berfungsi bukan sekadar pusat pembelajaran, tetapi juga pusat pembentukan nilai dan sahsiah.

SK Bukit Awang bermula sebagai Sekolah Rakyat Bukit Awang sekitar tahun 1948.

Lawatan rasmi alumni ke SK Bukit Awang

Sebagai langkah awal memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah, Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA telah mengadakan lawatan rasmi ke SK Bukit Awang pada 8 Februari lalu.

Lawatan tersebut disambut oleh Guru Besar SK Bukit Awang, Wan Azah Wan Ismail, yang mula melapor diri pada 26 Januari lalu, bersama barisan pentadbir sekolah iaitu Mazulaiha Ramli selaku Penolong Kanan Pentadbiran, Rusdi Muhammad sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Norfahiza Ismail sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.

Dalam pertemuan tersebut, Penasihat Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA, Dr Mustafa Ahmad, menegaskan komitmen beliau untuk membantu memajukan SK Bukit Awang melalui jaringan komuniti, sokongan strategik serta kerjasama berterusan antara alumni dan pihak sekolah.

Lawatan ini menjadi simbol permulaan kepada hubungan erat dan sinergi baharu antara Persatuan Alumni SKBA dengan pengurusan sekolah demi masa depan SK Bukit Awang yang lebih gemilang.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA, Zurkurnan Haji Yusoff, pula menjelaskan bahawa penubuhan persatuan ini merupakan satu usaha strategik untuk menyatukan seluruh alumni SKBA daripada pelbagai generasi dalam sebuah wadah rasmi yang berstruktur dan berkesinambungan.

Menurut beliau, penyatuan ini penting bagi membina jaringan sokongan yang kukuh antara bekas pelajar, sekali gus membolehkan sumbangan mereka diselaraskan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa Persatuan Alumni SKBA akan berperanan membantu pembangunan sekolah secara menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, akademik serta kebajikan murid dan warga pendidik.

"Persatuan akan berfungsi sebagai rakan strategik kepada pihak pengurusan sekolah, khususnya dalam merancang inisiatif sokongan yang mampan dan berorientasikan keperluan sebenar SK Bukit Awang," katanya.

Selain itu, penubuhan Persatuan Alumni SKBA juga bertujuan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara alumni, warga sekolah dan komuniti setempat.

"Melalui pertemuan berkala, program kebajikan dan aktiviti bersama, persatuan ini diharapkan dapat menghidupkan kembali ikatan kekeluargaan yang sekian lama terjalin dalam ekosistem SK Bukit Awang," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zurkurnan turut memaklumkan bahawa Persatuan Alumni SKBA akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat bagi memastikan segala urusan dapat dilaksanakan secara sah, tersusun dan berintegriti.

Guru Besar SK Bukit Awang, Wan Azah Wan Ismail (kiri) menyambut Penasihat Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA, Dr Mustafa Ahmad, dan Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA, Zurkurnan Haji Yusoff, dalam lawatan rasmi Persatuan Alumni SKBA ke SKBA pada 8 Februari lalu. .

Komposisi jawatan kuasa penaja Alumni SKBA

Bagi memastikan hala tuju persatuan ini dipandu oleh pengalaman dan kewibawaan, Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA diterajui oleh tokoh-tokoh alumni dan masyarakat yang berkaliber.

Persatuan ini dinaungi oleh Tan Sri Zulkurnain Haji Awang, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, yang merupakan antara tokoh nasional paling berjaya pernah dilahirkan oleh SK Bukit Awang.

Sebagai penasihat, persatuan ini mendapat bimbingan daripada Dr Mustafa Ahmad, Penggawa Daerah Semerak, yang berpengalaman luas dalam urusan pentadbiran dan pembangunan komuniti setempat selain mencatat rekod sebagai penggawa pertama di Malaysia yang memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD).

Jawatankuasa Penaja ini dipengerusikan oleh Zurkurnan, dibantu oleh Abdul Rahim Awang sebagai Timbalan Pengerusi. Urusan pentadbiran persatuan digalas oleh Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff selaku Setiausaha dengan dibantu oleh Badaruddin Muhammad sebagai Penolong Setiausaha.

Pengurusan kewangan persatuan diamanahkan kepada Yasmin Hashim @ Yassin sebagai Bendahari manakala Azilah Ismail bertindak sebagai Penolong Bendahari.

Jawatankuasa ini turut disokong oleh barisan ahli yang terdiri daripada Khamsani Mohamed @ Hanafiah, Fauzana Ismail, Sharidan Harun, Azimah Ishak, Burhanuddin Mohd Noor, Norma Mohd Noor serta Dr Norlizah Che Hasan, yang masing-masing membawa kepakaran dan pengalaman tersendiri.

Kesimpulannya, penubuhan Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SKBA merupakan manifestasi penghargaan kepada sejarah, pengorbanan dan jasa sebuah sekolah rakyat yang telah melahirkan ribuan insan berguna.

Dengan penyatuan alumni, sokongan kepimpinan dan komitmen masyarakat, SKBA diyakini akan terus berkembang sebagai institusi pendidikan luar bandar yang berdaya saing, berakar pada nilai dan berpaksikan masa depan.