'Belia ejen perpaduan, bukan pencetus perpecahan' - Mohammed Taufiq

Iklan
Mohammed Taufiq menyampaikan ucapan pada Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati Madani X Belia pada Ahad.

SEBERANG JAYA - Golongan belia perlu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama bukannya terpengaruh dengan retorik murahan yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, belia yang dimaksudkan bukan sekadar diukur berdasarkan usia muda sebaliknya perlu memiliki kualiti kepimpinan, prinsip dan jati diri yang kukuh dalam mempertahankan perpaduan nasional.

Iklan
Iklan

“Belia ini bukan hanya sekadar umurnya yang muda tetapi belia yang berkualiti, belia yang menjadi ejen perpaduan dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau latar belakang,” katanya selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati Madani X Belia di sini pada Ahad.

Menurut beliau, golongan belia tidak seharusnya melayan sebarang retorik perpecahan yang boleh mengganggu keselamatan serta kesejahteraan negara sebaliknya perlu menjadi benteng kepada usaha memecah-belahkan masyarakat.

Iklan

“Kalau bukan anak muda yang menjadi ejen perpaduan ini, siapakah lagi yang kita ingin harapkan?

"Sebab itu, belia perlu faham dan memaknai sendiri erti perpaduan kerana ia adalah aset penting negara,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan, belia yang mencetuskan perpecahan, menjadi batu api atau memainkan sentimen kaum dan agama tidak layak digelar sebagai belia berkualiti.

“Kita tidak mahu belia yang memporak-perandakan negara.

"Belia yang berkualiti mempunyai disiplin, prinsip dan pegangan yang jelas dan ini lah yang membezakan antara belia membina negara dengan mereka yang hanya bermain retorik murahan,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohammed Taufiq berkata, kehadiran lebih 500 orang belia dalam program berkenaan membuktikan kesediaan golongan muda untuk membawa perubahan positif di peringkat komuniti dan persekitaran masing-masing.

“Apabila mereka pulang dan membawa perubahan di komuniti, Insya-ALLAH kita boleh melahirkan lebih ramai belia hebat yang menjadi ejen penyatuan dan keharmonian negara,” katanya.

Tambah beliau, kepimpinan yang baik, organisasi yang mantap serta pelaksanaan dasar kerajaan hingga ke peringkat akar umbi amat penting bagi membentuk Malaysia sebagai negara madani yang berdaulat.

“Kita mahu melahirkan generasi bertamadun, bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga akhlak, minda dan keseluruhan jati diri,” katanya.