Kepada belia kita: Pesanan mengenai masa depan ASEAN

Iklan
Bagi rakyat Malaysia, kejayaan ASEAN bukanlah satu konsep abstrak — selama ini ia telah diterjemahkan kepada keberhasilan yang nyata seperti pekerjaan, pelaburan dan pelbagai peluang. - Gambar hiasan

Masa zaman kanak-kanak, salah satu filem paling menarik berkaitan time travel ialah Back to the Future. Filem ini menggamit memori tatkala Malaysia selesai menjadi tuan rumah kepada Menteri-menteri Ekonomi dari ASEAN dan negara Rakan Dialog sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-57.

Bayangkan senario ini: tahunnya adalah 2045. Ramai belia bekerja dalam industri berteknologi tinggi atau sektor perkhidmatan bernilai tinggi di rantau ini. ASEAN telah berjaya menjadi ekonomi keempat terbesar dunia pada tahun 2030, sebuah kuasa ekonomi yang disegani di peringkat global.

Iklan
Iklan

Rantau kita semakin tangkas, inklusif dan digital. Setiap belia mendapat manfaat daripada ekonomi digital ASEAN yang mantap, lancar dan selamat.

Hampir semua rakyat - daripada warga emas hingga kanak-kanak – diperkasakan secara ‘digital’. Pendidikan dan kesihatan awam disempurnakan melalui perkhidmatan dalam talian atau melalui aplikasi. Kecerdasan buatan (AI) membantu rakyat kita hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih produktif.

Iklan

Keterjaminan makanan diperkasakan oleh teknologi pertanian (agrotech). Memandangkan kebanyakan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, peruntukan bagi perkhidmatan kesihatan semakin disalurkan untuk menambah baik pendidikan awam, serta mempromosikan keusahawanan dan kreativiti.

Dengan penggunaan kenderaan elektrik yang semakin meluas, pencemaran udara tidak lagi wujud kerana semua negara ASEAN mencapai matlamat Sifar Bersih jauh lebih awal daripada garis masa sasaran mereka.

Iklan

Perniagaan dalam semua saiz berkembang maju terutamanya PMKS – berkat kemajuan dalam ekosistem ekonomi digital ASEAN. Rantau ini juga berjaya meningkatkan nilai ekonomi digital ke AS$2 trilion menjelang 2030 dan memperkasakan kira-kira 70 juta PMKS melalui rangka kerja ekonomi digital serantau yang moden, komprehensif dengan kesalinghubungan yang mantap. Ini seterusnya meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN ke tahap 80 peratus, mencerminkan kemakmuran yang bertambah baik dalam kalangan negara anggotanya.

E-dagang, fintech dan perkhidmatan dipacu AI merentasi ASEAN dengan begitu lancar, disokong sistem pembayaran saling kendali dan tadbir urus data yang kukuh. Syarikat pemula dan industri kreatif yang diterajui belia berkembang maju, diperkasakan oleh hab inovasi serantau dan mobiliti bakat digital.

Pelbagai industri, termasuk industri penerbangan, menjadi lebih mesra alam berlandaskan konsep pembuatan mampan, ekonomi kitaran dan tenaga boleh diperbaharui, yang menghasilkan hanya hidrogen dan air dari segi ‘sisa’ industri. Bekalan tenaga dijamin menerusi sumber hidro, angin, solar dan reaktor nuklear kecil – yang kesemuanya boleh diakses menerusi Grid Tenaga ASEAN pintar yang diperkasakan AI.

Balik kepada tahun 2025, kami berharap lakaran sejarah akan mengiktiraf bahawa evolusi ini juga dibentuk oleh 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia, yang telah menjadi asas bagi sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang kalis masa depan.

Persaingan geopolitik

Sesungguhnya, apabila Malaysia mula memegang jawatan Pengerusi Tonggak Ekonomi ASEAN tahun ini, beban tanggungjawab di bahu kami terasa amat berat, terutama sekali apabila saya mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Kuala Lumpur minggu lalu.

Dengan orde dunia yang seolah-olah telah retak menanti belah akibat persaingan geopolitik, rantaian bekalan yang rapuh dan tekanan ekonomi global, Malaysia telah diamanahkan untuk membimbing ASEAN ke arah kestabilan, daya tahan dan mod pertumbuhan. Ini satu penghormatan dan juga satu kewajipan yang berat.

Bagi ramai rakyat Malaysia, mereka mungkin tidak dapat menghargai makna mesyuarat-mesyuarat ASEAN ini. Namun, setelah terlibat sepenuhnya dalam proses membuat keputusan Menteri-menteri ASEAN sejak Disember 2022, saya yakin bahawa keputusan yang dibuat di AEM secara langsung membina ekonomi, serta menghasilkan pekerjaan dan peluang untuk kita.

Bagi rakyat Malaysia, kejayaan ASEAN bukanlah satu konsep abstrak — selama ini ia telahpun diterjemahkan kepada keberhasilan yang nyata seperti pekerjaan, pelaburan dan pelbagai peluang.

Tahun ini, PED kami seperti peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) akan mengurangkan kerenah birokrasi dan kos untuk pengeksport.

Rangka Kerja ASEAN untuk Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) pula memastikan Malaysia kekal sebagai pusat industri yang sedang menyokong ratusan ribu pekerjaan di Kulim, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Johor. Dalam usaha mengembangkan pasaran khusus kita dalam teknologi hijau, Pelan Hala Tuju Pasport Bateri EV akan membantu memantapkan kedudukan kita dalam industri tenaga bersih masa hadapan.

Apa yang menarik perhatian saya pada AEM ke-57 ialah penglibatan mendalam dari China, AS, India hinggalah ke EU, Korea Selatan, Jepun dan Australia. Kehadiran mereka semua ke meja ASEAN adalah bukti jelas nilai ASEAN sebagai rakan ekonomi.

‘Penemu jodoh’

Oktober ini, Kuala Lumpur akan sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Pemimpin ASEAN, dengan kehadiran pemimpin Rakan-Rakan Dialog seperti Donald Trump, Li Qiang dan Narendra Modi. Malaysia akan beraksi di pentas dunia sekali lagi – bukan sebagai penonton, tetapi sebagai ‘penemu jodoh’ antara kuasa-kuasa besar yang dipercayai oleh semua pihak.

Kami juga mengambil langkah berani untuk membentuk masa depan perdagangan. Pada Oktober, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak RCEP yang pertama sejak 2020, menyatukan blok yang mewakili 30 peratus daripada KDNK global, dan 30 peratus daripada populasi global. Pada bulan November, kami akan mengadakan dialog rasmi pertama ASEAN dengan CPTPP.

Keterlibatan Malaysia dalam kedua-dua RCEP dan CPTPP amat unik, dan ini membolehkan kami mendapat manfaat daripada kedua-dua kumpulan dari segi rantaian bekalan, perdagangan digital dan kemampanan — bidang-bidang penentu masa depan perdagangan.

Malaysia juga secara konsisten menggesa pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk membaikpulih fungsi rayuannya dan memodenkan sistemnya dalam era digital. Pembaharuan ini penting kepada pengeksport Malaysia, sama ada mereka menghasilkan produk halal, semikonduktor atau perkhidmatan profesional.

Ringkasnya kepimpinan kita di ASEAN bukan tentang mendabik dada. Ia penting demi mengekalkan kemakmuran ASEAN dalam ketidaktentuan semasa global. Ia juga bagi memastikan peluang hari esok tetap terbuka kepada pekerja, usahawan dan perniagaan Malaysia.

Selaku Pengerusi ASEAN, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah membuktikan bahawa kepimpinan efektif tidak bergantung kepada saiz sesebuah negara, tetapi kepada visi dan kredibiliti. 2025 adalah tahun penentu: Malaysia mampu menjadi pemangkin dan penghubung yang disegani.

Tatkala saya merenung kembali minggu yang baru sahaja berlalu, saya lebih yakin bahawa usaha kita adalah untuk mencipta ASEAN yang lebih makmur dan berdaya tahan untuk Malaysia dan setiap rakyat Malaysia. Melalui ASEAN, MITI sedang berusaha untuk menjadikan visi tersebut satu realiti.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri