Kesihatan untuk rakyat

Iklan
Kenaikan kos insurans kesihatan menyebabkan ada antara golongan T20 membatalkan polisi mereka, sekali gus menjadikan hospital awam sebagai pilihan alternatif. - Gambar hiasan

Baru-baru ini dilaporkan ramai golongan T20 dan M40 mendapatkan rawatan di hospital awam berikutan peningkatan kos rawatan swasta dan premium insurans yang semakin membebankan.

Faktor utama yang mendorong perubahan tersebut adalah kerana kenaikan kos insurans kesihatan yang menyebabkan ada antara golongan tersebut membatalkan polisi mereka, sekali gus menjadikan hospital awam sebagai pilihan alternatif.

Iklan
Iklan

Situasi yang berlaku ini juga disebut sebagai inflasi kesihatan apabila kos untuk mendapatkan rawatan meningkatkan dengan begitu tinggi sehingga syarikat insurans terpaksa menaikkan premium masing-masing.

Berbeza dengan golongan B40 yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), mereka boleh menebus baucar Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0) bernilai RM30 mulai 1 September lalu.

Iklan

Program ini merupakan bantuan subsidi oleh kerajaan bagi membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik yang mempunyai jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50.

Dengan kerjasama industri insurans dan takaful, kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0, bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Iklan

Usaha ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40, bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.

Selain itu, golongan berpendapatan rendah juga berpeluang untuk mendapat perlindungan insurans menerusi skim mySalam yang dilancarkan sejak tahun 2019 di bawah Kementerian Kewangan.

Ia memainkan peranan penting untuk menyediakan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan kritikal.

Skim ini memboleh pesakit membuat tuntutan sehingga RM8,000 jika disahkan mengalami satu daripada 50 penyakit kritikal.

Mereka juga boleh membuat tuntutan elaun jika dihospitalkan sebanyak RM50 sehari selama 14 hari atau maksimum RM700 setahun.

Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak RM1.1 billion tuntutan telah dibayar kepada 1.6 juta penerima.

Bagaimanapun, kemudahan mySalam ini akan berakhir pada tahun ini dan kerajaan sedang mengkaji sama ada untuk meneruskan atau tidak.

Keputusan tersebut mungkin akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2026 yang akan dibuat pada Oktober ini.

Kita harap dengan langkah-langkah penyasaran subsidi yang dilakukan oleh kerajaan akan membolehkan lebih banyak bantu seumpama ini kepada rakyat.

Namun, kita juga berharap kerajaan dalam membantu golongan M40 yang terkesan dengan masalah inflasi kesihatan di negara ini.

Mungkin kerajaan boleh memperluas pemberian baucar seperti PTV kepada golongan tersebut supaya meringankan beban oleh kenaikan premium insurans.

Selain itu, kita juga sedang menunggu keputusan mengenai pembangunan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai oleh Bank Negara (BNM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara ini telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Mac lalu.

Jadi secara umumnya, masalah kesihatan di negara ini merupakan satu isu yang amat penting dan diberi perhatian penuh kerajaan.

Ini termasuklah memastikan segala kemudahan dan menyediakan jumlah doktor serta kakitangan kesihatan yang mencukupi supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Namun untuk melakukan semua ini, kerajaan perlu memastikan kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan yang baik dan dikendalikan dengan penuh tanggungjawab.

Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM45.27 bilion untuk kesihatan yang merupakan jumlah kedua tertinggi selepas pendidikan.

Terdapat kemungkinan, peruntukan untuk tahun depan juga akan mengalami peningkatan yang besar.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian