Kereta paling banyak langgar undang-undang lalu lintas

Iklan
Anggota polis trafik melakukan pemeriksaan ketika kempen advokasi OP PUU.

KUALA LUMPUR - Kereta direkodkan antara kenderaan tertinggi dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik sepanjang kempen advokasi Op Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, sepanjang tempoh itu, polis mengeluarkan sebanyak 11,308 notis advokasi membabitkan pelbagai kategori kenderaan dan individu.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah berkenaan, pemandu kereta merekodkan 4,664 notis advokasi, manakala penunggang motosikal sebanyak 4,587 notis.

"Selain itu, kenderaan lain melibatkan van (315), lori (253), teksi (265) serta pejalan kaki (1,224)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, statistik turut merekodkan kesalahan paling tinggi sepanjang operasi itu ialah halangan lalu lintas dengan 5,217 kes.

Kereta paling banyak melakukan pelbagai kesalahan trafik sepanjang kempen advokasi OP PUU.

Iklan

"Selain itu, terdapat 2,489 kes gagal mematuhi lampu isyarat, 1,139 kes pejalan kaki tidak menggunakan lintasan dan 927 kes nombor plat tidak mengikut peraturan.

"Berikutnya sebanyak 407 kes melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar dan 325 kes tidak memakai tali pinggang keledar, 219 kesalahan berhenti di petak kuning dan 389 kes berhenti melepasi garisan putih," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan notis advokasi adalah sebagai peringatan awal kepada pengguna jalan raya supaya lebih peka terhadap undang-undang dan keselamatan diri.

"Walaupun tiada kompaun dikenakan, setiap kesalahan yang direkodkan ini menjadi indikator tahap disiplin masyarakat ketika berada di jalan raya.

"Justeru, orang ramai perlu menjadikan advokasi ini sebagai pengajaran sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya.

Operasi dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan tahap disiplin dan keselamatan pengguna jalan raya di ibu negara berada pada tahap terbaik.

Mohamed Usuf berkata, sebanyak 60,596 notis advokasi dikeluarkan sejak OP PUU dilaksanakan pada 6 September hingga 25 September lalu.

"Kempen ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan tahap disiplin dan keselamatan pengguna jalan raya di ibu negara berada pada tahap terbaik," katanya.