WUDUK menggunakan penyembur air mungkin kedengaran janggal bagi sesetengah orang, namun hakikatnya ia semakin menjadi keperluan jemaah umrah.
Baru-baru ini, In Saff Travel & Tours Cawangan Shah Alam, Selangor menganjurkan kursus umrah percuma di Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19, Shah Alam yang menarik penyertaan hampir 130 peserta.
Kursus berkala yang diadakan dua kali sebulan itu bukan sahaja menekankan perkara asas ibadah umrah, malah turut memberi penerangan khusus tentang isu praktikal yang sering ditanya jemaah termasuk cara berwuduk dengan penyembur air.
Penasihat In Saff Travel & Tours Cawangan Shah Alam, Ahmad Najmi Sadali menjelaskan, penggunaan penyembur biasanya timbul dalam keadaan mendesak.
“Biasanya keperluan itu muncul apabila kita tidak berpeluang keluar mencari tempat wuduk. Contohnya di Masjidil Haram, kalau kita tinggalkan tempat duduk, kemungkinan besar tidak akan dapat semula tempat itu. Lokasi tempat wuduk juga agak terhad.
“Di Masjid Nabawi pula, tiada tempat wuduk di dalam masjid. Jadi, jemaah perlu keluar mencari tandas yang agak jauh. Bila keadaan sesak, terutamanya dekat-dekat waktu solat, peluang untuk masuk semula ke dalam masjid sangat terhad.
“Begitu juga ketika di dalam kapal terbang yang mana kebanyakan tandas cepat basah kerana digunakan ramai penumpang atau air habis. Jadi, wuduk menggunakan botol semburan air lebih menjimatkan dan memudahkan jemaah,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.
Ahmad Najmi yang juga pembimbing ibadah umrah menjelaskan, wuduk menggunakan penyembur tetap perlu mematuhi syarat sah wuduk.
“Anggota wuduk yang wajib tetap wajib dibasuh. Cuma yang sunat boleh ditinggalkan, seperti menyapu telinga. Syarat penting ialah air yang disembur mesti menitik. Sembur hingga basah, kemudian barulah disapu.
“Kalau sembur air hanya sekadar lembap tanpa menitis, wuduk tidak sah,” ujarnya sambil menasihatkan jemaah menyediakan kain untuk melapik supaya tidak membasahi karpet masjid,” katanya.
Selain isu wuduk menggunakan botol semburan, kursus umrah itu turut memberi pendedahan mengenai isu-isu semasa lain seperti keperluan vaksin dan tip kesihatan jemaah.