BAGAN DATUK – Penduduk Kampung Sungai Betul menyifatkan pelaksanaan program Kampung Angkat Madani oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak Disember lalu telah membawa perubahan ketara dari segi prasarana, sosioekonomi dan peluang pendapatan baharu.
Bagi Ahmad Mohamad, 63, kampung itu kini lebih tersusun dan selesa selepas menerima beberapa naik taraf penting termasuk ruang solat wanita di Masjid Ismailiah serta pembinaan jalan ladang.
“Ruang solat wanita sebelum ini agak kecil kerana berkongsi dengan saf lelaki kini lebih selesa. Jalan ladang yang dibina pula memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tanaman.
“Kami harap program seperti ini dikekalkan dan diperluaskan dalam Belanjawan 2026 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Zamri Nawi, 62, berkata, peruntukan baik pulih rumah di bawah program itu sangat meringankan beban penduduk kampung yang rata-ratanya bergantung pada hasil pertanian.
Menurutnya, kebanyakan rumah penduduk di kampung tersebut sudah lama dan tidak sempurna jadi dengan peruntukan baik pulih tersebut dapat memastikan mereka tinggal dalam keadaan selesa.
“Selain itu, kehadiran pelancong ke kampung selepas projek naik taraf memberi peluang pendapatan tambahan kepada orang kampung.
“Kami berharap dalam Belanjawan 2026, peruntukan baik pulih rumah ditambah kerana masih banyak rumah yang perlu dibaiki,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Betul, Mad Saril Ahmad pula berkata, wajah kampung kini berubah apabila pelbagai kemudahan baharu diwujudkan termasuk dewan, jalan berturap, tandas awam, titi konkrit di Klinik Desa dan padang bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul.
“Beting Beras Basah yang dulunya sunyi kini menerima kunjungan pelancong setiap minggu. Kita juga sedang merancang agropelancongan dengan kemudahan laluan ATV dan trem,” katanya.