Misi GSF: 34 peserta Malaysia bersemangat teruskan misi walau diganggu - MAPIM

Iklan
Petugas memantau pergerakan Sumud Flotilla Global secara langsung melalui pusat kawalan operasi ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melawat Gudang Pusat MAPIM hari ini. Foto Bernama

SEPANG - Kesemua 34 peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) berada dalam keadaan selamat dan bersemangat walaupun beberapa kali diganggu serangan bom bunyi oleh rejim Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tiada peserta yang cedera tetapi beberapa individu mengalami demam dan mabuk laut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mereka telah menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan di atas kapal.

"Alhamdulillah, keadaan mereka tidak membimbangkan. Setiap hari kita berhubung secara langsung pada 3 pagi waktu Malaysia untuk memastikan mereka kekal kuat," katanya kepada media di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Pusat Kawalan Flotilla Sumud Nusantara (SNCC) dan telesidang bersama 34 sukarelawan Malaysia.

Sani Araby berkata ketabahan peserta flotila menghadapi ancaman adalah bukti semangat kemanusiaan sejagat dan Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh sehingga misi berjaya tiba di Gaza.

Iklan

Beliau berkata misi GSF bukan sahaja bertujuan menghentikan perang dan kebuluran, malah menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Sany Araby, pihaknya menjangkakan provokasi rejim Israel akan berlaku namun ia berlaku lebih awal daripada jangkaan.

Katanya Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi melibatkan 45 negara itu menerusi sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata SNCC diwujudkan untuk menyelaras naratif media agar tidak diputar belit menjadi propaganda seolah-olah Malaysia menarik diri daripada misi itu.

Beliau berkata SNCC beroperasi 24 jam bagi memastikan kelancaran koordinasi, keselamatan peserta dan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat antarabangsa.

"Pemantauan 24 jam amat penting bukan sahaja bagi keselamatan peserta tetapi juga bagi memastikan setiap krisis dapat ditangani segera termasuk usaha membawa pulang mereka jika perlu," katanya. - Bernama