KINABATANGAN - Tiada perselisihan faham antara pasangan suami isteri sebelum pengarah animasi Ejen Ali didakwa terjun ke dalam sungai di Kampung Batu Puteh di sini Selasa lalu.
Mangsa, Andi Abdul Ghani A Kadir, 42, ditemui maut dipercayai akibat lemas pada jam 11.15 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu.
“Mangsa bekerja sebagai pereka grafik telah terbabas bersama isterinya di jambatan Kampung Batu Puteh semasa dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
"Selepas terbabas, mangsa tiba-tiba keluar dari kenderaan dan terjun ke sungai tersebut tetapi tiada pergaduhan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Khamis.
Menurutnya, susulan maklumat itu, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan digerakkan ke lokasi bersama agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan penduduk kampung bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Hasil pencarian, pada jam 11.15 pagi Rabu, mayat mangsa ditemui pada jarak lima meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kinabatangan bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang Selasa lalu dan seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi sejauh 23 kilometer.
“Menurut pemanggil, berlaku kemalangan jalan raya lalu mangsa terjun ke sungai.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, memang benar terdapat mangsa dikhuatiri lemas dan menurut kronologi terdapat pemandu wanita serta penumpang lelaki.
“Didakwa ketika kenderaan bergerak, penumpang lelaki dipercayai mengalami gangguan histeria dan secara tiba-tiba telah memegang serta memusing stereng kenderaan menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.
“Susulan kemalangan itu, mangsa dilaporkan keluar dari kenderaan dan terjun ke dalam sungai.
"Seterusnya operasi SAR dimulakan di kawasan mangsa dipercayai terjun sebelum ditemui meninggal dunia," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial bahawa pasangan tersebut baru saja berkahwin selepas disatukan pada 16 September lalu dan dikatakan sempat menukar gambar perkahwinan di profil di Facebook.
Namun Andi akhirnya ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang di sungai tersebut.