Dron dari Yemen serang bandar pelancongan Israel, 50 cedera termasuk 3 parah

Iklan
Sebuah dron terbang merentasi ruang udara Eilat di selatan negara itu. Foto Agensi

TEL AVIV – Sekurang-kurangnya 50 orang cedera selepas sebuah dron dilancarkan dari Yemen menghentam bandar pelancongan Eilat di selatan Israel, awal pagi Khamis.

Perkhidmatan ambulans nasional Israel mengesahkan antara mangsa yang cedera, tiga daripadanya dilaporkan parah.

Iklan
Iklan

Akhbar harian Yedioth Ahronoth melaporkan dron tersebut mengenai kawasan berhampiran pusat beli-belah Mall Hayam, sebuah lokasi tumpuan pelancong di bandar Laut Merah itu.

Tentera Israel dalam kenyataan turut mengesahkan serangan berkenaan, menyatakan dron berkenaan dilancarkan dari Yemen dan berjaya mendarat di Eilat walaupun usaha pemintasan telah dilakukan.

Iklan

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa pihaknya melancarkan “operasi ketenteraan berkualiti menggunakan dua dron” dengan sasaran dua lokasi di Eilat dan kedua-duanya “mengenai sasaran dengan jayanya”.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak antara Israel dan kumpulan Houthi yang saling berbalas serangan sejak beberapa bulan lalu, di tengah-tengah krisis berterusan akibat tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Iklan

Minggu lalu, jet pejuang Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran Houthi di bandar pesisir Hodeidah manakala serangan di ibu negara Yemen, Sanaa bulan lalu telah mengorbankan 12 pegawai kanan Houthi termasuk Perdana Menteri, Ahmed al-Rahawi serta sembilan menteri lain.

Kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah Yemen sebelum ini berikrar untuk terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan meningkatkan serangan ke atas Israel. - Agensi