Gurauan keterlaluan sesama rakan boleh jadi buli - Polis

Iklan

KUCHING - Golongan muda diingatkan agar tidak memandang ringan gurauan keterlaluan sesama rakan kerana ia boleh dianggap perbuatan buli dan memberi kesan buruk terhadap masa depan pelajar, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Beliau berkata walaupun insiden di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular di media sosial baru-baru ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan mangsa serta keluarga enggan meneruskan laporan, polis tetap memandang serius kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Pelajar hadir ke sekolah atau institut pengajian untuk belajar, bukan untuk buli. Kalau nak main-main pun, jangan sebab orang luar melihat perkara ini serius.

"Maksudnya, walaupun nampak seperti gurauan secara kasar, ia tetap perbuatan buli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini pada Khamis. 

Iklan

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan semua pihak termasuk mangsa, ibu bapa serta rakan-rakan terlibat dipanggil untuk memberi keterangan, manakala mangsa turut menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan tiada kecederaan.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai agar tidak merakam serta menyebarkan video insiden sedemikian kerana ia hanya menggalakkan budaya negatif dalam kalangan pelajar.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Lim San Aik berkata walaupun mangsa dan bapanya memutuskan tidak meneruskan kes, polis tetap akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dilapor mengesahkan pelajar lelaki berusia 19 tahun itu menafikan dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian yang tular hanya gurauan rakan sempena sambutan hari lahir pada 19 September lepas. - Bernama