IPOH - Seorang penolong pegawai tanah di Perak direman selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa menggunakan butiran palsu bagi urusan pindah milik tanah di negeri ini tahun lalu.
Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.
Turut direman seorang individu yang bertindak sebagai broker tanah bagi urusan berkenaan.
Kedua-duanya masing-masing lelaki berusia 40 dan 47 tahun telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak antara jam 3.30 petang dan 3.45 petang pada Rabu.
Menurut sumber, mereka disyaki telah bersekongkol menggunakan dan mengemukakan Borang 14A iaitu permohonan pindah milik tanah Geran Mukim Lenggong yang mengandungi butiran palsu.
"Tanah berkenaan yang dijual pada harga RM260,000 telah dipindah milik kepada pemilik baharu tanpa pengetahuan serta kebenaran pemilik asal," katanya.