Penduduk bimbang projek baik pulih hampir RM5 juta gagal tangani hakisan

Iklan
Laluan sejauh 15 hingga 20 meter di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus hampir siap dibaik pulih runtuh kembali dalam kejadian malam Rabu. Gambar kecil dari kiri: Mohd Zaki, Maimun

KUALA NERUS – Penduduk kawasan pantai gusar apabila projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit bernilai hampir RM5 juta gagal berfungsi selepas struktur benteng baharu runtuh meskipun kerja pembinaan dilaporkan sudah hampir siap sepenuhnya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam itu melibatkan tengah laluan dan beberapa bahagian lain dikesan turut mengalami rekahan menyebabkan jalan itu kembali ditutup kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Mohd Zaki Ali, 57, berkata, beliau terkejut apabila rakannya memberitahu mengenai kejadian itu kerana ketika ini keadaan ombak tidak besar.

"Jalan itu sudah boleh digunakan sebelum 31 Ogos lalu tetapi waktu tu kerja baik pulih belum siap sepenuhnya.

Iklan

"Mungkin baru capai 90 peratus, malangnya belum sampai sebulan jalan ini digunakan, ia kembali runtuh. Tak tahu macam mana kalau musim tengkujuh nanti," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Seorang lagi penduduk, Maimun Johar, 56, berkata runtuhan mula disedari kira-kira jam 9.30 malam ketika dia dan suami hendak keluar memancing.

Iklan

"Jarak runtuhan sangat dekat dengan rumah saya. Mujur tiada sesiapa cedera kerana keadaan gelap.

"Kalau musim tengkujuh nanti, ombak besar boleh menyebabkan hakisan di kawasan ini lebih buruk," katanya.

Sementara itu, seorang pesara, Wan Khalid Wan Abdullah, 70, yang sering beriadah di kawasan itu pula berharap kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera memandangkan musim tengkujuh semakin hampir.

Menurutnya, Monsun Timur Laut yang dijangka tiba tidak lama lagi berisiko menyebabkan masalah hakisan di kawasan berkenaan bertambah buruk.

"Mujurlah tak ada jiwa terkorban dalam runtuhan kaki ini tetapi kalau dibiarkan lama lagi keadaan boleh jadi lebih buruk.

"Benteng hakisan ombak di kawasan ini perlu dibina lebih kukuh untuk mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Projek dengan nilai keseluruhan RM4.95 juta itu mula dilaksanakan oleh kontraktor SR Tech Resources sejak 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan.

Atara skop utama kerja termasuk pembersihan runtuhan, kerja-kerja geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, kerja tambakan pasir dan penstabilan struktur tanah.

Sebelum ini, pada Januari lalu, Jalan berkenaan terputus akibat hakisan selepas dibadai ombak kuat menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada orang ramai.

Kejadian itu berpunca daripada hakisan yang semakin teruk akibat fenomena air pasang besar dan ombak kuat setinggi 2.4 meter.