Tukang masak didenda RM6,500 mengaku salah buat gangguan seksual

Iklan
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Khamis.

BALIK PULAU - Seorang tukang masak mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah premis perniagaan di Bayan Lepas pada minggu lalu.

Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Muhammad Amirulhakim dituduh telah melakukan perbuatan bermaksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan mengajaknya melakukan hubungan seks dan perbuatan itu telah mengganggu kesantunannya.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di The Golden Triangle 2, Commercial Square, Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas pada jam 9.30 pagi, 19 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, Chew Thiam Hui.

Lushani memohon satu hukuman yang setimpal dengan mengambil faktor kepentingan awam terhadap tertuduh.

"Saya mohon satu hukuman yang setimpal berikutan mangsa kini berada dalam keadaan trauma selepas kejadian tersebut," katanya.

Thiam Hui dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan denda yang berbentuk pengajaran.

"Tertuduh bekerja sebagai tukang masak dengan gaji bulanan RM1,500.

"Dia belum berkahwin namun mempunyai tanggungan keluarga iaitu adik dan bapa. Mohon satu denda sebagai pengajaran terhadap tertuduh," katanya.

Sehubungan itu, Huey Ting menetapkan denda RM6,500 terhadap tertuduh dan jika gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan penjara selama 10 bulan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki ditahan selepas satu video tular memaparkan dirinya melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah premis di sini.

Kejadian itu telah dilaporkan majikan mangsa pada jam 12.17 tengah hari, 19 September lalu di Balai Polis Bayan Lepas.

Lelaki tersebut ditahan di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Bayan Lepas kira-kira jam 5.58 petang pada hari sama.

Sementara itu, Muhammad Amirulhakim yang berasal dari Balik Pulau turut menghadapi satu pertuduhan memasukkan diri sendiri dadah jenis morfin.

Dia turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada jam 11.20 malam, 29 Ogos tahun lalu.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong memohon agar satu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Huey Ting kemudiannya menetapkan denda RM1,500 terhadap tertuduh, dan jika gagal bayar, boleh dipenjara selama tiga bulan.