Faisal pacu Selangor benam Tampines

Iklan
Faisal muncul watak penting ketika Selangor menewaskan Tampines di Petaling Jaya pada Rabu. Foto: Bernama

SELANGOR FC akhirnya menemui semula sentuhan kemenangan apabila menewaskan wakil Singapura, Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

Kejayaan di hadapan 1,815 penonton bukan sahaja menghidupkan semula rentak skuad kendalian Katsuhito Kinoshi, malah menamatkan kemarau kemenangan sejak menewaskan Malaysian University Football Team 9-0 dalam saingan timbal balik kedua Pusingan 16 Piala FA pada 13 September lalu.

Iklan
Iklan

Anak buah Kinoshi sebelum ini tewas dua perlawanan berturut-turut bermula dengan berdepan Bangkok United dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Petaling Jaya, 18 September diikuti tunduk 0-1 kepada Kuching City

saingan Liga Super (21 September).

Iklan

Turun dengan menyenaraikan Faisal Halim selaku kapten, Selangor bermula agak perlahan sebelum berjaya menukar momentum permainan, sebaliknya, Tampines kendalian Noh Rahman lebih banyak menguasai tempo pada awal babak pertama.

Namun, skuad Red Giants lebih garang dalam serangan dan membuka tirai jaringan menerusi Faisal yang bijak melepaskan percubaan dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol lawan, Syazwan Buhari pada minit ke-18.

Iklan

Selangor menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-29 apabila Zach Clough menyempurnakan hantaran silang Chrigor Moraes untuk meletakkan kedudukan 2-0.

Tampines bagaimanapun kembali memberi saingan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-41 disempurnakan Koya Kazama, sekali gus merapatkan jurang 2-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Faisal sekali lagi muncul wira Selangor selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-51, sebelum Alvin Fortes menambah jaringan keempat menerusi rembatan kencang pada minit ke-58.

Tampines tidak mengaku kalah dan berjaya menjaringkan gol kedua melalui Hide Higashikawa pada minit ke-65, namun ia sekadar menjadi gol sagu hati buat The Stags.

Dengan kemenangan berharga itu, Selangor kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, memimpin kumpulan diikuti BG Pathum United (empat mata), Tampines (tiga mata), Cong An Hanoi (tiga mata), Buriram United (dua mata) dan Cebu tanpa sebarang mata selepas mengikat Buriram United 1-1 di Stadium Chang Arena pada 20 Ogos lalu.

Skuad kendalian Kinoshi selepas ini bakal bertandang ke Stadium Bishan bagi aksi ACL2 menentang satu lagi wakil Singapura, Lion City Sailors pada 1 Oktober.