KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperkenalkan slogan baharu, ‘Terengganu Bersih ALLAH Kasih’ sebagai usaha menonjolkan imej positif negeri itu sebagai destinasi pelancongan Islam.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, inisiatif itu bukan sahaja mendidik masyarakat menjaga kebersihan, malah mengingatkan bahawa kebersihan adalah tuntutan agama.
“Kebersihan bukan sekadar isu imej, malah ia merupakan amanah. Kita mahu rakyat sedar bahawa kebersihan ini tanggungjawab bersama dan menjadi wajah sebenar Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Program Perarakan Bot Merdeka di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Razali mengakui wujud kelemahan dalam pengurusan kebersihan di Masjid Kristal yang tular baru-baru ini sehingga menjejaskan imej destinasi ikonik pelancongan Islam di negeri itu.
Beliau berkata, selepas menerima aduan pelancong mengenai persekitaran tidak terurus termasuk kolam kotor, rumput panjang dan sampah sarap, beliau sendiri turun meninjau keadaan masjid berkenaan.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi saya mengaku memang ada kelemahan. Ia satu khilaf yang perlu segera diperbaiki kerana kebersihan adalah perkara pertama yang dilihat pelancong.
“Kontraktor kebersihan di bawah Taman Tamadun Islam (TTI) sudah diarahkan bertanggungjawab sepenuhnya dan kerajaan akan pastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.
Menurutnya, walaupun isu itu kelihatan kecil, ia memberi kesan besar terhadap imej negeri, khususnya apabila Masjid Kristal menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Beliau menegaskan, sebarang kelemahan dalam pengurusan kebersihan boleh mencalar imej negeri sekali gus memberi gambaran kerajaan terlalai terhadap aset pelancongan utama.
“Apa yang penting, kita mahu pastikan pelancong yang hadir merasai hospitaliti terbaik dan membawa imej positif Terengganu pulang ke tempat masing-masing,” katanya.
Razali berkata, kerajaan turut bekerjasama dengan NGO dan sukarelawan melaksanakan program pembersihan pantai serta dasar laut secara berkala bagi memastikan ekosistem pelancongan negeri terjaga.
Katanya, sambutan musim cuti baru-baru ini juga membuktikan Terengganu kekal sebagai destinasi pilihan utama apabila purata 60,000 kenderaan sehari direkodkan memasuki negeri melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Itu tidak termasuk kenderaan yang masuk melalui jalan negeri dari Kemaman atau Besut. Jadi jumlah sebenar lebih besar. Ini bermakna, kita tidak boleh mengambil ringan soal kebersihan kerana pelancong semakin ramai,” jelasnya.