Counter setting: 12 individu termasuk tujuh penguat kuasa direman

Iklan
SPRM menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket counter setting bagi memudahkan kemasukan warga Indonesia ke negara ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket counter setting bagi memudahkan kemasukan warga Indonesia ke negara ini.

Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman enam hari sehingga 29 September ini, manakala 10 lagi direman lima hari sehingga 28 September selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, semua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, pegawai penguat kuasa terbabit dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini.

Iklan

"Mereka dipercayai berurusan dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi counter setting di pintu masuk laut sejak 2024 hingga awal tahun ini,” katanya.

SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71 juta, sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM115,000 serta sebuah motosikal jenis Italjet Dragster bernilai RM30,000.

Iklan

Selain itu, permohonan untuk membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta juga telah dibuat.

Difahamkan, operasi bersepadu yang dinamakan Op Setting itu dijalankan SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM di Johor dan Pulau Pinang pada Selasa.

Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, dua lagi suspek turut dibebaskan dengan jaminan SPRM.