IPOH - Dua premis hiburan di sekitar bandar raya ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menggunakan karya hak cipta tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan.
Serbuan jam 6 petang pada Selasa itu dilakukan hasil maklumat dan aduan wakil pemilik hak cipta yang mendapati premis terbabit menggunakan karya rakaman filem, bunyi dan lagu secara tidak sah.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan memiliki set karaoke yang mengandungi salinan langgaran karya berhak cipta.
"Wakil pemilik hak cipta turut membuat pengesahan awal terhadap bahan yang dirampas.
“Kesemua unit set karaoke, monitor dan dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM31,870,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut peruntukan Akta Hak Cipta 1987 yang melarang mana-mana pihak memiliki, menjaga atau mengawal salinan langgaran karya hak cipta untuk kegunaan selain tujuan persendirian dan domestik.
Katanya, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh meningkat antara RM4,000 hingga RM40,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam pada itu, Kamalludin mengingatkan semua pengusaha pusat hiburan dan pihak berkepentingan agar mendapatkan kelulusan sah daripada pemilik hak cipta sebelum menggunakan karya berkenaan bagi aktiviti perniagaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pelanggaran hak cipta boleh menyalurkan aduan melalui aplikasi WhatsApp ke 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.
End