BRISBANE – Sebuah keluarga di Australia mendakwa mayat anak lelaki mereka dipulangkan dari Bali tanpa organ jantung, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai prosedur forensik di Indonesia.
Mangsa, Byron Haddow, 23, dilaporkan meninggal dunia pada 26 Mei lalu selepas ditemui terapung tidak sedarkan diri di kolam sebuah vila percutian di Bali.
Mayat beliau hanya dipulangkan hampir empat minggu kemudian.
Namun, menurut keluarganya, bedah siasat kedua di Queensland mendapati jantungnya hilang dan didakwa disimpan di Indonesia tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.
“Ia tidak berperikemanusiaan. Ini benar-benar mematahkan hati,” kata ibu bapanya, Robert dan Chantal Haddow, yang turut mendedahkan mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan dan membayar kira-kira AUD700 (RM2,220) untuk membawa pulang organ tersebut selepas pengebumian anak mereka.
Pakar forensik Indonesia, Dr Nola Margaret Gunawan, ketika ditemu bual media Australia menjelaskan bahawa 'penahanan' organ secara penuh adalah amalan biasa dalam autopsi forensik di seluruh dunia, dan menurut undang-undang Indonesia, kebenaran keluarga tidak diperlukan bagi tujuan siasatan jenayah.
Kes kematian Byron kini dalam siasatan terbuka oleh Mahkamah Koroner Queensland, manakala keluarganya mendakwa mereka berdepan “penangguhan, separuh kebenaran dan kesunyian” sepanjang proses tersebut.
Bali kekal sebagai destinasi popular pelancong Australia, namun tragedi ini mencetuskan kebimbangan terhadap pengurusan jenazah warga asing di negara itu.- Agensi