WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan laman web berjenama sendiri, TrumpRx, yang membolehkan pengguna membeli ubat-ubatan pada harga diskaun pada Khamis.
Antara pilihan ubat yang ditawarkan termasuk produk untuk penurunan berat badan serta rawatan kesuburan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha beliau meredakan kemarahan orang ramai berhubung kos sara hidup menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November depan, ketika Parti Republikan berdepan risiko kehilangan kawalan di Kongres.
“Bermula malam ini, puluhan ubat preskripsi yang sering digunakan akan ditawarkan pada harga diskaun yang ketara kepada semua pengguna.
“Rakyat Amerika telah sekian lama membayar ubat-ubatan pada harga yang tinggi,” katanya ketika berucap di Rumah Putih.
Difahamkan, laman web berkenaan menawarkan penjimatan bagi lebih 40 jenis ubat preskripsi.
Pengguna boleh mencetak kupon dan menunjukkannya di farmasi terlibat bagi mendapatkan harga diskaun yang ditawarkan.
Trump sebelum ini mengumumkan satu siri perjanjian harga dengan syarikat farmaseutikal terkemuka dan berjaya meyakinkan mereka untuk komited kepada penetapan harga Most Favored Nation yang menyamai harga terendah ditawarkan di negara-negara maju lain.
Sebagai pertukaran, firma berkenaan menerima insentif tertentu termasuk pelepasan tarif tinggi yang diperkenalkan oleh pentadbirannya. – AFP