Kelantan sedia bantu penduduk terjejas perobohan pangkalan haram

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan sedia membantu penduduk yang terjejas berikutan tindakan pihak berkuasa meroboh pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri memahami keresahan rakyat, terutama mereka yang bergantung hidup dengan menggunakan pangkalan tersebut bagi tujuan perniagaan kecil-kecilan serta aktiviti harian.

Iklan
Iklan

“Pihak polis bertindak menutup pangkalan haram kerana ia sering disalahgunakan untuk tujuan penyeludupan, khususnya dadah, dan langkah itu memang wajar.

“Tetapi pada masa sama, kita juga tidak boleh menafikan ada rakyat yang menggunakan pangkalan tersebut untuk tujuan harian, urusan keluarga dan perniagaan. Apabila ditutup, pendapatan mereka terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini Rabu.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneliti mekanisme terbaik bagi membantu mereka yang benar-benar terkesan.

“Bagaimanapun, semua pihak perlu bertanggungjawab, bukan sahaja kerajaan negeri malah kerajaan Pusat, untuk membantu penduduk kerana penutupan pangkalan haram ini menjejaskan pendapatan seharian mereka,” ujarnya.

Iklan

Mohamed Fadzli berkata, sebagai contoh, ada peniaga menggunakan pangkalan haram untuk mengambil barang dari Thailand bagi dijual di Rantau Panjang dan sekitarnya.

“Kita bukan bermaksud membela aktiviti ini kerana sepatutnya urusan perlu melalui jalan yang sah, tetapi apabila pangkalan ditutup, ia menjejaskan perniagaan mereka.

“Kerajaan negeri ada peruntukan melalui program keusahawanan, belia, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, isu pangkalan haram ini ada yang melibatkan tanah kerajaan dan ada juga milik persendirian.

“Kalau betul ia menjejaskan kehidupan penduduk, kerajaan negeri akan melihat langkah lain supaya mereka masih boleh meneruskan kehidupan tanpa terhimpit,” katanya.

Mohamed Fadzli turut menegaskan, isu utama yang dibimbangi adalah penyalahgunaan pangkalan haram untuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan, bukannya urusan rakyat biasa.

“Setakat ini belum ada pemilik yang tampil secara rasmi memaklumkan bahawa mereka terjejas,” katanya.