[VIDEO] Polis tumpas makmal dadah terbesar di Johor, proses 100,000 pil eramin 5 sehari

Iklan

JOHOR BAHRU – Kebakaran sebuah kilang di Senai pada minggu lalu membongkar kegiatan makmal memproses dadah berskala besar dengan rampasan sebanyak empat tan dadah bernilai lebih RM17.7 juta.

Premis yang berselindung di sebalik kilang produk teknologi itu dikesan mampu menghasilkan sehingga 100,000 tablet erimin 5 sehari menjadikannya antara makmal dadah haram berskala industri terbesar pernah ditemui di negeri ini.

Iklan
Iklan

Hussein menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis berhubung pembongkaran dua buah makmal haram memproses dadah di sekitar Senai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang, 14 September itu pada awalnya dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum pasukan polis turut dikerahkan ke lokasi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan dijadikan makmal dadah haram. Polis bersama JSJN Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia.

"Hasil siasatan lanjut, polis menemui satu dulang besi bersama 14 bekas plastik berisi 75 kilogram (kg) serbuk disyaki dadah jenis erimin 5 dan satu kotak bersama tiga bekas plastik berisi pil erimin 5 (24.69kg).

Iklan

Hussein menunjukkan rampasan mesin membuat dadah selepas membongkar dua buah makmal haram memproses dadah jenis Erimin 5 di sekitar Senai.

"Selain itu, tiga dulang besi mengandungi 16 plastik bersama dua kotak serbuk bahan kimia (79.01kg), 11 tong berisi cecair bahan kimia (1.8 tan) serta pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (Kulai), pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner, Mat Zani @ Mohd Salahuddin dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Hussien berkata, siasatan susulan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia awal 40-an di Seri Alam yang bertindak sebagai ‘transporter’ untuk menerima dan menghantar bungkusan dalam bentuk bongkah kayu ke kilang.

"Seterusnya, polis menemui sebuah lagi kilang dijadikan makmal di Desa Idaman, Senai, yang terletak satu kilometer dari makmal pertama.

"Kilang kedua sindiket jadikan sebagai tempat menyimpan bahan kimia untuk memproses pelbagai jenis dadah.

"Pelbagai jenis bahan kimia ditemui termasuklah 10 botol berisi cecair dadah jenis methamphetamine seberat 250kg, satu plastik lutsinar berisi ketamin (20kg), dan serbuk prekursor (1.7 tan)," ujarnya.

Hussein menunjukkan rampasan mesin membuat dadah selepas membongkar dua buah makmal haram memproses dadah jenis Erimin 5 di sekitar Senai.ba

Jelasnya, polis kini sedang memburu dan mengesan tiga suspek yang disyaki dalang utama kepada sindiket berkenaan.

"Sindiket dipercayai aktif sejak awal Februari lalu dan siasatan mendapati dua kilang itu disewa sejak dua tahun lalu.

"Jumlah rampasan ini dapat digunakan sehingga 1.8 juta penagih jika diedarkan. Sindiket dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan modus operandi menyamar sebagai kilang produk teknologi,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang ditahan negatif dadah namun mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan kini direman selama 12 hari sehingga Isnin depan.

"Tiga lagi individu tempatan dipercayai dalang utama sindiket masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Turut disita empat kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan sitaan harta RM161,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan RM17.93 juta,” ujarnya.