Pesara JPJ dipenjara 10 bulan, denda RM60,000 beri suapan rakan sekerja

Iklan
Seorang pesara JPJ di Melaka dihukum penjara 10 bulan dan denda RM60,000 kerana rasuah. Foto hiasan

MELAKA - Seorang pesara di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, selepas didapati bersalah memberi rasuah bagi melindungi lori membawa muatan berlebihan.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap Mohd Rafi Abd Rahman, 61, yang baru bersara tahun ini selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohd Rafi didakwa menyerahkan wang tunai keseluruhan RM3,600 kepada seorang rakan sekerja sebagai habuan supaya tiada tindakan diambil ke atas beberapa pengusaha lori.

Kesalahan itu dilakukan dalam enam pertemuan berasingan di pejabat JPJ Melaka antara Julai hingga Disember 2018.

Iklan

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah memutuskan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Iklan

Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara tambahan tiga bulan bagi setiap pertuduhan.

Peguam bela Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman diringankan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain perlu menyara isteri dan pencennya telah disekat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir, menegaskan kesalahan itu menjejaskan integriti perkhidmatan awam dan memohon hukuman berat demi memberi pengajaran.

Dalam pada itu, Azrul memohon penangguhan hukuman bagi memfailkan notis rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan dengan syarat ia difailkan pada Rabu dan jaminan dikekalkan pada RM12,000.