SHAH ALAM - Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa lagi atas satu pertuduhan pecah amanah berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) membabitkan wang berjumlah RM145.5 juta, tujuh tahun lalu.
Abu Sahid, 74, yang duduk di kerusi roda di luar kandang tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Abu Sahid didakwa sebagai ejen iaitu pengarah syarikat, dalam kapasiti tersebut diamanahkan penguasaan ke atas harta, milik Maju Holdings Sdn Bhd, telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan secara tidak jujur menyalahgunakan RM145.55 juta.
Wang berkenaan yang dibayar ke akaun bank milik sebuah syarikat pembinaan antara 12 Januari dan 13 Jun 2018 di sebuah cawangan bank di Taman Serdang Perdana.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, juga mengaku tidak bersalah atas 18 penggubahan wang haram melibatkan RM388.3 juta dan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek sama berjumlah RM220.7 juta.
Berdasarkan sembilan pertuduhan tuntutan palsu, dia didakwa memperdayakan seorang ejen bank dengan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bernilai RM220.7 juta bagi kerja-kerja pembinaan jalan sedangkan perkara itu tidak pernah dilaksanakan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 14 di sini antara 9 November 2017 dan 26 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi sembilan lagi kes, dia dituduh memindahkan hasil aktiviti haram lebih RM388 juta menggunakan akaun dan cek daripada akaun syarikat pembinaan sebelum ini kepada akaun miliknya dan tiga syarikat lain di cawangan bank di Country Heights, Kajang antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang 15 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta ringgit mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan, semua kes dihadapi kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes yang telah disebut sebelum ini.
"Kami juga memohon jaminan menggunakan pakai bagi kes ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini iaitu Abu Sahid sebanyak RM1.5 juta dan RM1 juta bagi Wee Leong bersama masing-masing seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid sementara Wee Leong oleh peguam, Abdul Hakeem Aiman tidak membantah cadangan tersebut.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Mohd Nasir membenarkan permohonan pihak pendakwaan berkenaan dan menetapkan sebutan kes pada tarikh sama dibuat Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 8 September lalu, Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek lebuh raya sama.
Sementara Wee Leong dituduh atas 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi cadangan projek pembinaan MEX II berjumlah RM314.5 juta, pada 2017 dan 2018 lalu.