TEMERLOH - Langkah kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma menyebabkan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Temerloh sejak Selasa menjadi tumpuan orang ramai dari sekitar dan luar daerah tersebut termasuk dari Maran.
Ia susulan pengumuman pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang memerlukan MyKad sebagai pengesahan identiti bagi membolehkan rakyat menikmati penggunaan bahan bakar itu pada kadar subsidi, RM1.99 bermula pada hujung bulan ini.
Antaranya, Rofli Samah, 55, dari Maran, sanggup datang ke Temerloh kerana proses mendapatkan MyKad baru di cawangan itu lebih cepat iaitu 30 minit berbanding beberapa hari di Maran.
"Sebenarnya masalah cip rosak sudah lama dan bila dapat tahu mengenai subsidi ini yang memerlukan MyKad, jadi saya ambil peluang hari ini untuk menggantikannya.
"Langkah kerajaan menawarkan proses ini secara percuma amat dialu-alukan," katanya ketika ditemui di JPN Temerloh pada Rabu.
Ahmad Rostam Mat Adam, 55, juga dari Maran, lega kerana proses menunggu tidak lama dan ia memberikan keselesaan kepada rakyat.
"Bila datang dan ambil nombor giliran, lega sebab tidak seramai yang difikirkan, jadi ia banyak menjimatkan masa untuk menunggu," tambahnya yang bekerja sendiri.
Sementara itu, seorang wanita Orang Asli (OA) dari Paya Rekoh, Maya Tok, 26, turut tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menggantikan cip rosak MyKad miliknya.
"Saya tahu rosak pada masa nak ambil bantuan kerajaan sebelum ini dan bila ada program percuma, terus datang hari ini dan lega prosesnya tidak lama," akuinya.