Pulau Pinang pamer projek RM5 bilion tarik pelabur Jepun

Iklan
Timbalan Pengarah Pavillion, Nor Haslynda Wan Rahim menyampaikan cenderahati kepada kerajaan Pulau Pinang yang diwakili Kon Yeow berhubung penglibatan dalam penganjuran Ekspo Osaka 2025.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menampilkan projek pembangunan bernilai RM5 bilion sempena Minggu Pulau Pinang di Pavilion Malaysia, Ekspo Dunia 2025 Osaka, Jepun, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dari negara matahari terbit itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada pelan strategik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi tempoh 2024 hingga 2028 yang sedia untuk dibangunkan.

Iklan
Iklan

“Antara projek yang dipamerkan termasuk The Coast, mercu tanda tepi laut bernilai RM839 juta berkonsepkan kelestarian dan Penang Linear Waterfront iaitu projek promenad tepi laut bernilai RM9.8 bilion.

“Selain itu, turut dipromosikan Penang International Logistics Aeropark (PILA), Medi-City di Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan 3 dan GBS di Technoplex,” katanya pada sidang akhbar secara Google Meet selepas pelancaran rasmi Minggu Pulau Pinang di Osaka, pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, penganjuran Minggu Pulau Pinang itu dilihat mampu meletakkan negeri berkenaan sebagai hab serantau untuk pembangunan berteknologi tinggi, pembangunan lestari dan pelancongan.

“Pameran ini dapat mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Iklan

Tambahnya, Pulau Pinang turut memberi tumpuan kepada pameran keupayaan negeri dalam reka bentuk litar bersepadu (IC design) dengan membawa tiga syarikat tempatan iaitu Tenasic, SiliconX dan SkyeChip.

“Ketiga-tiga syarikat ini adalah peneraju reka bentuk IC yang menghasilkan penyelesaian inovatif untuk peranti generasi baharu selain membangunkan teknologi masa depan dari Pulau Pinang.

"Mereka menyertai seminar pelaburan dan sesi padanan perniagaan bersama pelabur Jepun,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, PDC telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berasingan dengan Federal Express Services (M) Sdn Bhd (FedEx) dan DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Syarikat tempatan, Solar Voltech Sdn Bhd (SVSB) dan Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB) turut memeterai MoU bernilai RM120 juta dengan syarikat Jepun, Shizen International Inc.

Katanya, MoU antara PDC, FedEx dan DHL menandakan langkah awal untuk menubuhkan PILA di Batu Maung.

“FedEx dan DHL adalah rakan strategik dalam penubuhan PILA dan delegasi Pulau Pinang juga akan melawat Kansai Logistics Park pada Jumaat ini.

“Kami berharap lawatan itu memberi peluang untuk melihat operasi logistik di Kansai sebagai amalan terbaik yang boleh dibawa pulang. Malah, kami yakin FedEx dan DHL mampu melaksanakan projek ini dengan jayanya di Pulau Pinang,” katanya.

Selain sektor pelaburan, Pulau Pinang turut mengetengahkan jenama tempatan seperti Pak Ali Food Industries dengan produk ikonik Jeruk Madu Pak Ali, Kenny Loh Couture dengan fesyen Peranakan moden serta Mohamad Zul Imran yang terkenal dengan Roti Canai Terbang.

“Produk jeruk madu Pak Ali dan roti canai menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung di Pavilion Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau mengimbas kembali sejarah hubungan ekonomi Pulau Pinang dengan Jepun yang bermula sejak 1970-an.

“Lebih 70 syarikat Jepun kini beroperasi di Pulau Pinang termasuk Toray, Renesas, Panasonic, Kobelco dan Japan Lifeline.

“Kita juga menjadi rumah kepada kira-kira 3,500 ekspatriat, pelabur dan pesara Jepun yang telah menjadikan Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka,” katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang berjaya menarik lebih RM1 bilion pelaburan pembuatan dari Jepun pada tahun 2023 yang telah mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan.

“Jepun juga kekal sebagai salah satu daripada lapan destinasi eksport utama negeri ini dengan jumlah dagangan mencecah RM14 bilion pada 2024 dan telah pun mencapai RM8.3 bilion dalam tujuh bulan pertama 2025.

"Saya optimis pelaburan Jepun akan terus meningkat selaras dengan dasar ‘Kerjasama dengan Timur’ yang dilaksanakan Malaysia," katanya.