Video tular IKBN Miri: Polis buka kertas siasatan sekiranya terima laporan

Iklan
Mohd Khalid ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Polis akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima laporan rasmi dan unsur jenayah melibatkan rakaman video tular memaparkan seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kertas siasatan akan dibuka sekiranya ada laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya ada laporan polis dibuat maka kertas siasatan akan dibuka, ia bukan bermaksud menolak siasatan dan diklasifikasikan sebagai gurauan melampau semata-mata.

"Polis akan menyiasat sekiranya ada sebarang unsur jenayah selain setelah melihat keseluruhan fakta sebelum kertas siasatan kemudian dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada berlaku kesalahan berkaitan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Katanya, pihaknya mengambil serius setiap laporan berkaitan kes buli dengan menekankan siasatan teliti perlu dijalankan agar tindakan undang-undang tidak menjejaskan golongan bawah umur.

Iklan

"Sebarang kes melibatkan buli kita sudah memperkenalkan undang-undang anti-buli, jadi banyak perkara berkaitan yang memerlukan siasatan rapi.

"Selain itu, polis turut perlu memastikan tindakan undang-undang yang diambil tidak menjejaskan terutama sekali kanak-kanak bawah umur, sama seperti kes Zara Qairina yang sedang berlangsung.

"Kita tidak digalakkan untuk komen atau mengulas sebarang perkara berkaitan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan pelajar lelaki itu menafikan dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian yang tular hanyalah gurauan rakan sempena sambutan hari lahir pada 19 September lalu.

Jelas beliau, pihaknya telah memanggil pegawai institut, ibu bapa serta semua pelajar terbabit berusia 18 hingga 24 tahun untuk diambil keterangan selain kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Tegas beliau, pihaknya akan terus memantau dan tidak akan berkompromi sekiranya wujud laporan atau bukti baharu menunjukkan unsur jenayah buli.

Sebelum ini tular video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.

Kejadian itu kemudiannya menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat yang mengaitkannya dengan kejadian buli.