SHAH ALAM - Keupayaan sindiket haram beroperasi dalam tempoh lama disebabkan taktik licik seperti melakukan rasuah terhadap pihak tertentu, menjalankan operasi secara berlapis dengan syarikat atau individu ‘proksi’ serta memanipulasi rekod kewangan bagi menutup jejak aktiviti.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim berkata, sindiket seperti ini akan terus hidup selagi ada manusia yang sanggup menjual amanah dengan melakukan rasuah.
Menurutnya, isu ini bukan sekadar kelemahan penguatkuasaan semata-mata, tetapi berpunca daripada hilangnya nilai takwa dan rasa takut kepada ALLAH.
"Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membanteras gejala rasuah dan penyelewengan, namun ia tidak akan berjaya tanpa kekuatan dalaman yang berpaksikan iman, akhlak dan kesedaran individu yang memegang amanah.
“Selagi manusia tidak berpegang kepada nilai agama, selagi itu pintu maksiat seperti rasuah, penipuan, penyeludupan dan pengubahan wang haram akan terus terbuka.
"Rasuah ini bukan sekadar salah di sisi undang-undang, tetapi dosa besar yang membawa kemurkaan ALLAH," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, operasi mega Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah dan Sarawak dari 2 hingga 8 September membongkar sindiket rasuah penyeludupan serta pengubahan wang haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu diambil melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) menerusi Op Karen.
Jelasnya, secara keseluruhan jumlah pembekuan aset ialah RM110 juta melibatkan 498 akaun bank, selain sitaan lima kapal (RM52 juta), 4.5 juta liter minyak diesel (RM9.7 juta), sembilan unit jam tangan (RM1.2 juta), jongkong emas (RM260,500), 17 unit kereta mewah (RM5.6 juta) dan 40 bidang tanah (RM11.3 juta).
Zairudin berpendapat, pendidikan antirasuah berteraskan iman dan nilai Islam perlu diperkukuh dalam semua peringkat, terutama dalam kalangan penjawat awam serta agensi penguat kuasa.
Tegasnya, setiap individu perlu ditanam kefahaman bahawa amanah yang dipikul di dunia akan dipersoalkan di akhirat kelak.
“Jika kita faham jawatan itu adalah satu tanggungjawab dan bukannya peluang untuk mengaut keuntungan peribadi, maka kita akan takut untuk melakukan khianat. Ini soal akhirat, bukan sekadar imej atau reputasi.
"Dalam masa sama, diharapkan masyarakat tampil berani menolak rasuah dalam apa jua bentuk serta melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Rakyat tidak boleh berpeluk tubuh, melaporkan rasuah adalah tanggungjawab fardu kifayah. Jika kita diam, kita membiarkan negara kita rosak. Rasuah itu racun yang perlahan-lahan menghancurkan masa depan bangsa dan negara,” ujarnya.
Zairudin juga menegaskan bahawa Kerajaan Madani komited membanteras gejala rasuah melalui usaha memperkukuh undang-undang, meningkatkan keberkesanan SPRM, memperluas kerjasama antara agensi dalam dan luar negara, serta melaksanakan program pendidikan integriti.