Sedia platform aduan sulit untuk ‘whistleblower’

Iklan
Semua kes yang mempunyai elemen rasuah jelas mesti dibawa ke mahkamah agar pesalah dapat dikenakan hukuman lebih berat berbanding sekadar tindakan buang kerja. Gambar kecil: Mohd Hafiz

SHAH ALAM - Terdapat lima langkah boleh dilakukan bagi memperkasakan integriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa termasuk menyediakan platform aduan sulit untuk pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ melaporkan sebarang salah laku dalam organisasi.

Ia susulan tindakan Jabatan Imigresen yang membuang 20 pegawai yang terbabit dalam dalam kes salah laku rasuah di pintu masuk negara atau 'counter setting' baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Mohd Hafiz Abd Hamid berkata, langkah itu wajar dipuji kerana menunjukkan ketegasan kerajaan terhadap isu rasuah, namun ia perlu diiringi dengan pembaharuan menyeluruh.

“Automasi proses di pintu masuk perlu menggunakan sistem digital, kecerdasan buatan (AI) dan biometrik bagi mengurangkan manipulasi manusia, selain melakukan audit mengejut secara berkala oleh pihak bebas.

Iklan

“Kerajaan juga boleh melaksanakan kursus etika dan kempen anti rasuah yang konsisten bagi memupuk nilai integriti,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah membuang kerja 20 orang pegawainya yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’.

Iklan

Keputusan itu dibuat susulan keputusan mahkamah dan siasatan dalaman yang mengambil masa antara enam bulan hingga tiga tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 227 pegawai lagi sedang disiasat bagi kesalahan sama sebelum tindakan lanjut dibuat.

Ujar Mohd Hafiz, siasatan melibatkan kes rasuah juga perlu disegerakan kerana perbicaraan yang mengambil masa sehingga tiga tahun dianggap terlalu lama dan dibimbangi boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan jabatan.

Menurutnya, semua kes yang mempunyai elemen rasuah jelas mesti dibawa ke mahkamah agar pesalah dapat dikenakan hukuman lebih berat berbanding sekadar tindakan buang kerja.

“Selain itu, saluran aduan sulit dengan perlindungan undang-undang kepada pemberi maklumat perlu diwujudkan supaya kakitangan berani melaporkan sebarang salah laku atau arahan daripada kartel dalaman.

“Perluaskan kewajipan isytihar harta untuk semua jawatan yang berisiko, malah perkukuh keberkesanan penempatan kader SPRM di Jabatan Imigresen,” ujarnya.