Isu mansuh matrikulasi: Presiden UMANY direkod keterangan

Iklan
Zaid (kanan) dan Yi Ze hadir ke IPD Wangsa Maju pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) Tang Yi Ze hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pada Selasa, berkenaan isu yang mengaitkan pemansuhan program matrikulasi.

Peguam yang mewakili Yi Ze, Zaid Malek berkata, beliau dimaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan
Iklan

"Saya sekali lagi ingin menekankan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh UMANY tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan tidak sepatutnya disiasat.

"Mereka mempunyai hak untuk bersuara dan ini berkenaan isu berkepentingan awam. Jadi saya tak faham kenapa perlu ada siasatan terhadap kenyataan ini," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Wangsa Maju di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau kemudian mengiringi Yi Ze masuk bertemu pegawai polis kira-kira jam 2.05 petang.

Menurut Zaid, sistem pendidikan merupakan isu umum.

Iklan

"Siapa yang boleh bercakap kalau bukan warga Malaysia? Adakah hanya pihak berkuasa saja boleh bercakap? Bagaimana pula dengan kelompok-kelompok yang banyak mengkritik kewujudan sistem vernakular.

"Mereka boleh pula bercakap berkenaan isu-isu sebegitu tanpa diganggu dengan apa-apa siasatan berkenaan kenyataan tersebut. Jadi di sini nampaklah pertuduhan atau pun siasatan ini pilih kasih," ujarnya.

Sementara itu, Yi Ze menzahirkan terima kasih kepada pihak atau badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sokongan kepada UMANY.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kenyataan UMANY yang menggesa pemansuhan program matrikulasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, laporan polis pertama diterima pada 12 September selepas kenyataan itu disiarkan sebuah portal berita melalui Yi Ze.

Sebelum ini, UMANY menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.