KOTA KINABALU - Kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kemasukan individu ke Sabah, termasuk isu yang dibangkitkan oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Albert Tei.
Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menjawab persoalan individu tersebut melalui kenyataan dari peguamnya pada Isnin selepas tidak dibenarkan masuk ke Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
"Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.
"Tetapi tindakan hanya diambil setelah menerima laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung isu yang dibangkitkan Albert yang datang ke Sabah bagi menghadiri prosiding di Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu bagi pertuduhan rasuah yang dihadapinya bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai isu bencana alam banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan 13 nyawa baru-baru ini, beliau berkata, sama ada mereka layak menerima manfaat daripada Skim Insurans Rakyat Sabah yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, masih dalam semakan.
"Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian daripada skim insurans tersebut. Jadi, saya akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak," katanya.
Menurutnya, walaupun keputusan mengenai skim insurans itu masih diteliti, kerajaan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
"Daripada pihak kerajaan, kita sudah pun memberi bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah, iaitu RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia. Selain itu, kerajaan negeri juga menyalurkan RM10,000," jelasnya.
Beliau turut menambah, pemeriksaan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada skim insurans itu turut meliputi mangsa kejadian berkenaan.