SEREMBAN - Seorang bekas guru praktikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun 10 bulan di dalam bilik asrama di sebuah sekolah menengah di sini, Julai lalu.
Tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, N Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara menyentuh kemaluan dan mencium dahi kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan pada 26 Julai 2025 pada kira-kira jam 7.30 pagi dalam bilik asrama sebuah sekolah menengah di Sikamat, Seremban.
Di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal ke atas anak tiri perempuannya yang berusia lapan tahun ketika kejadian dengan cara menyentuh buah dada mangsa bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh berusia 35 tahun pada hujung Disember 2018 antara jam 10 malam hingga 6 pagi di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 bagi Wan Mohamad Aliff dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang minimum kerana baru saja bekerja dan bapanya pula tiada pendapatan tetap.
Bagi tertuduh bapa tiri, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM12,000 seperti mana yang ditetapkan untuk pertuduhan sebelum ini.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan bagi setiap tertuduh RM12,000 dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan, tidak berjumpa dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai selain turut dikehendaki menyerahkan pasport.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan.