DALAM beberapa minggu kebelakangan ini, hubungan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi tumpuan apabila timbul ketegangan yang jelas.
Isu itu semakin ketara apabila Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, berbeza dengan keputusan Majlis Tertinggi Pas yang menuntut parti itu mengambil alih teraju PN.
Perbezaan pandangan ini bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi turut melibatkan pengagihan kuasa dan dana pilihan raya, yang boleh memberi impak besar kepada kestabilan gabungan.
Tidak dapat dinafikan bahawa pada peringkat awal kerjasama PN, Pas sememangnya bergantung kepada kepimpinan Bersatu, terutamanya dalam hal kepemimpinan nasional dan pengurusan pentadbiran kerajaan.
Bersatu ketika itu memiliki struktur lebih mantap serta pengalaman kepimpinan peringkat pusat, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri.
Namun, perkembangan semasa pula menunjukkan Pas kini berada pada kedudukan lebih kukuh.
Dengan penguasaan 49 kerusi Parlimen tertinggi dalam kalangan parti Melayu, Pas bukan sahaja mempunyai struktur akar umbi yang mantap, malah mampu melahirkan barisan tokoh berwibawa yang layak diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri, menteri kanan, dan menteri besar.
Situasi ini menandakan bahawa Pas kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Bersatu untuk mengemudi hala tuju politik PN.
Pas juga semakin menyerlah dalam banyak aspek, termasuk penyusunan strategi pilihan raya, penguasaan di beberapa negeri, serta pengaruh dalam kalangan masyarakat sivil.
Dalam beberapa keadaan, Pas dilihat lebih dominan berbanding Bersatu, terutama dari segi kekuatan jentera dan pengaruh akar umbi.
Kerjasama awal antara Pas dan Bersatu berjaya membuka jalan kepada pengukuhan undi Melayu sebagai alternatif kepada UMNO, sambil menembusi segmen bukan Melayu dengan pendekatan lebih sederhana.
Sebaliknya, Bersatu kini berdepan pelbagai cabaran dan isu, termasuk persepsi awam serta pendakwaan terhadap beberapa pemimpin.
Situasi ini sedikit sebanyak mencalarkan imej Bersatu dan memberi kesan sampingan kepada jenama PN, termasuk Pas.
Dari sudut analisis, isu ini menunjukkan bahawa PN menghadapi cabaran semasa gabungan politik: keseimbangan kuasa, pengiktirafan sumbangan, dan kesetiaan akar umbi.
Sekiranya ketegangan tidak ditangani, wujud risiko hubungan tidak mesra antara Bersatu dan Pas, termasuk kemungkinan boikot dari jentera dan akar umbi Pas terhadap calon Bersatu yang bertanding, dan boleh melemahkan koordinasi pilihan raya.
Dalam jangka panjang, kegagalan mencari kompromi boleh mengheret PN ke arah perpecahan, sekali gus menjejaskan kestabilan politik dan imej gabungan di mata pengundi.
Asas kerjasama politik adalah pengiktirafan dan penghormatan antara parti komponen.
Kedua-dua pihak perlu bersedia memperkukuh kuasa melalui pengembangan idea dan tidak mempolitikkan isu yang boleh menimbulkan konflik berlarutan dalam gabungan.
Peluang masih wujud jika rundingan telus dan kompromi strategik diutamakan.
Kejayaan menyeimbangkan tuntutan kepimpinan, peranan jentera, dan pengagihan dana bukan sahaja mengukuhkan kerjasama, tetapi juga meningkatkan keyakinan akar umbi dan pengundi terhadap PN.
Pengaruh Pas dalam PN kini bukan sekadar menyokong; ia merupakan tulang belakang utama dalam menentukan arah tuju gabungan dan berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam landskap politik nasional.
Kesimpulannya, masa depan PN bergantung kepada kebijaksanaan PAS dan Bersatu menangani ketegangan dalaman secara pragmatik, mengimbangi kepentingan politik dengan keperluan gabungan bagi memastikan kesinambungan kerjasama dan kejayaan bersama dalam pilihan raya akan datang.
Realiti politik Malaysia hari ini jelas menunjukkan bahawa kuasa tidak lagi semata-mata tentang jumlah kerusi, tetapi juga tentang kepintaran merunding, membentuk gabungan, dan menangani pergolakan dalaman terutamanya antara parti-parti Melayu yang berpengaruh dalam menentukan hala tuju negara.
*Dr. Nur Ayuni Mohd Isa merupakan pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.