Skandal ADUN rasuah: Albert Tei dilarang masuk Sabah, peguam minta penjelasan dari Ketua Menteri

Iklan
Albert Tei

KOTA KINABALU - Seorang ahli perniagaan yang berdepan pertuduhan kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Mahkamah Kota Kinabalu didakwa dihalang memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin, sebelum hanya dibenarkan masuk selama dua hari.

Peguam Mahajoth Singh berkata, anak guamnya Datuk Albert Tei tiba di KKIA kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada jam 9 pagi Selasa.

Iklan
Iklan

"Namun sebaik tiba, beliau ditahan dan dimaklumkan tidak boleh memasuki Sabah kerana terdapat ‘sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri,’ seperti yang disampaikan oleh seorang pegawai imigresen," katanya dalam kenyataan media, pada malam Isnin.

Beliau berkata, anak guamnya terpaksa membuktikan mempunyai kes mahkamah dengan menghubungi Pegawai Penyiasat serta menghantar dokumen berkaitan melalui emel kepada pegawai imigresen sebelum dibenarkan masuk.

Iklan

"Itupun bukan atas haknya sebagai warganegara, sebaliknya kononnya atas budi bicara pegawai imigresen, dan hanya untuk tempoh dua hari," katanya.

Mahajoth mempersoalkan tindakan tersebut yang disifatkan melanggar hak seorang warganegara.

Iklan

"Menggunakan alasan kononnya arahan daripada Pejabat Ketua Menteri untuk menghalalkan tindakan sebegini adalah perbuatan menyalahi undang-undang dan pelanggaran terhadap Perkara 5 dan 9 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut beliau, perkara itu lebih membimbangkan kerana anak guamnya sebelum ini membuat dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri sendiri.

"Dalam konteks itu, sebarang sekatan terhadap kemasukan beliau kelihatan bermotifkan kepentingan peribadi dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa yang nyata," dakwanya.

Sehubungan itu, Mahajoth menuntut penjelasan daripada Ketua Menteri Sabah mengenai dakwaan arahan tersebut.

"Justeru saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri, adakah pejabatnya mengeluarkan arahan untuk menghalang kemasukan anak guam saya? Jika tidak, mengapa Jabatan Imigresen bertindak atas dakwaan wujudnya arahan itu?

"Sama ada Pejabat Ketua Menteri benar-benar mengarahkan tindakan ini, atau Jabatan Imigresen bertindak secara tidak sah. Anak guam saya berhak di sisi undang-undang untuk menerima penjelasan," katanya.

Beliau memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Menteri untuk memberikan maklum balas berhubung perkara itu.

Untuk rekod, Albert antara tiga individu termasuk dua lagi ADUN didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu berkaitan kes rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di negeri ini.