SHAH ALAM - Masyarakat di seluruh Itali mengadakan mogok, sekatan dan protes pro-Palestin sebagai respons kepada gesaan kesatuan sekerja untuk mengutuk genosid di Gaza dan menuntut sekatan diplomatik serta ekonomi terhadap Israel.
Gerakan demonstrasi pada Isnin itu berlaku serentak dengan hasrat Perancis, bersama beberapa negara lain, bagi mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Ia disusuli dengan pengiktirafan oleh United Kingdom (UK), Australia, dan Kanada pada Ahad.
Namun begitu, Itali telah mengambil pendirian yang lebih berhati-hati dan tidak akan mengiktiraf negara Palestin buat masa ini.
Di Rom, beratus-ratus pelajar sekolah menengah berkumpul di luar stesen kereta api Termini sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan 'Bebaskan Palestin'.
Protes tersebut juga berlaku di bandar utara seperti Milan dan Turin, bandar tengah Florence serta bandar selatan seperti Naples, Bari, dan Palermo.
Menurut agensi berita Itali, pekerja pelabuhan di Genoa dan Livorno dilaporkan telah menyekat laluan pelabuhan.
Pemerintahan ultra-konservatif, Giorgia Meloni mempunyai hubungan ideologi yang rapat dengan Presiden AS, Donald Trump dan telah mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perang di Gaza, walaupun Meloni telah berulang kali menyatakan kebimbangan beliau terhadap serangan Israel.
Rom buat masa ini tidak akan mengiktiraf negara Palestin dan telah menunjukkan keengganan untuk melaksanakan cadangan sekatan perdagangan Kesatuan Eropah terhadap Israel.
Sebelum ini, media melaporkan salah seorang peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF), Zainal Rashid Ahmad memaklumkan kesatuan sekerja di Itali memberi amaran akan melancarkan mogok termasuk mendakwa mahu menutup pelabuhan jika kapal misi GSF diganggu oleh tentera Israel.