BATU PAHAT – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil maklum aduan berhubung pencemaran di Sungai Bekok dan telah menjalankan siasatan di lokasi terbabit.
Exco Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Ling Tian Soon berkata, pegawai dari JAS Batu Pahat telah berjumpa dengan pengadu sebelum dibawa ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
“Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, dron digunakan bagi membuat tinjauan udara terhadap sistem saliran berdekatan selain mengenal pasti punca pencemaran.
“Sampel air turut diambil untuk dianalisis manakala beberapa lokasi yang berkemungkinan menjadi punca pencemaran sedang dikenal pasti,” katanya dalam satu muat naik di Facebook pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, JAS juga telah meminta Majlis Daerah Yong Peng dan Jabatan Veterinar Johor di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menjalankan siasatan bersama.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng menegaskan kerajaan negeri memandang serius insiden berkenaan.
“Sebarang pencemaran tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.
“Kerajaan negeri akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menjadi punca pencemaran ini,” katanya.