Bandar pintar untuk semua, bukan sekadar elit - Exco Johor

Iklan
Mohd Jafni (tengah) melihat pelan tindakan PBT seluruh negeri Johor pada Forum Bandar Pintar Johor di Persada Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Johor memperuntukkan RM56 juta bagi pembangunan bandar pintar di seluruh negeri pada tahun hadapan dengan menekankan penggunaan teknologi bukan hanya untuk golongan elit, tetapi demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan itu merangkumi infrastruktur digital, keselamatan, mobiliti pintar, kemudahan komuniti serta peningkatan kualiti perkhidmatan awam, selain membantu 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) mencapai indikator bandar pintar.

Iklan
Iklan

"Apabila kita berbicara tentang bandar pintar, ia bukan semata-mata mengenai penggunaan teknologi canggih. Ia adalah tentang membina ekosistem kehidupan yang lebih baik, lebih teratur, dan lebih berdaya tahan.

"Teknologi hanyalah alat, tetapi matlamat akhirnya ialah kesejahteraan rakyat Johor. Johor tidak mahu membangunkan bandar pintar yang eksklusif untuk segelintir elit sahaja. Johor mahu membina bandar pintar inklusif yang dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, bermula dari kanak-kanak di bangku sekolah hingga warga emas di penghujung usia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli.

Iklan

Mohd Jafni berkata, konsep bandar pintar bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta daya saing ekonomi negeri dapat direalisasikan.

Pihaknya menyasarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapat penarafan Bandar Pintar Tahap Tiga pada tahun ini.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) disasarkan memperoleh penarafan Tahap Dua.

Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Majlis Daerah Labis (MDL) pula disasarkan mendapat penarafan Tahap Satu.