Trump namakan gergasi teknologi, media dalam rancangan pengambilalihan TikTok AS

Iklan
Donald Trump

ISTANBUL -  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad berkata tokoh terkemuka teknologi dan media akan menyertai sebuah konsortium yang bakal mengambil alih operasi TikTok di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Fox News.

Trump berkata, mereka yang terlibat termasuk pengasas Oracle Larry Ellison, Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies Michael Dell serta eksekutif Fox Corp Rupert dan Lachlan Murdoch.

Iklan
Iklan

"Anda tahu, mereka adalah tokoh yang sangat terkenal. Dan Larry Ellison adalah seorang daripada mereka. Beliau terlibat.

"Beliau seorang yang hebat. Michael Dell terlibat. Seorang bernama Lachlan turut terlibat,” kata Trump dalam program Sunday Briefing di Fox News, sambil menambah bahawa Rupert Murdoch"mungkin akan menyertai kumpulan itu.”

Iklan

Rancangan itu susulan undang-undang pada April 2024 yang menghendaki syarikat induk TikTok dari China, ByteDance, menjual kira-kira 80 peratus asetnya di AS kepada pelabur Amerika atau berdepan larangan di seluruh negara.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt memberitahu Fox News bahawa Oracle akan menyelia data dan privasi AS dengan sebuah lembaga pengarah tujuh anggota,"enam daripadanya adalah rakyat Amerika.”

Iklan

Trump juga berkata, beliau telah mengadakan"perbualan telefon yang sangat produktif” dengan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat, menandakan kemajuan ke arah memuktamadkan perjanjian itu. - Bernama