KOTA TINGGI – “Semalam dia ajak saya jalan-jalan di Batu Layar, tak sangka itu yang terakhir.”
Demikian luahan sebak Salimah Pit, 65, ibu angkat kepada pengurus sebuah pasar raya, Mohd Fakhrurazi Muda, 37, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di persimpangan Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar di sini pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Mohd Fakhrurazi yang memandu Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nahas turut mengorbankan pemandu Toyota Vios yang juga seorang guru dikenali sebagai Intan Yuliana Sahir, 47.
Menurut Salimah, arwah yang berasal dari Kuala Terengganu telah tinggal bersamanya sejak hampir lapan tahun lalu di Kampung Seri Delima selepas bekerja di pasar raya tersebut dan sangat rapat dengan tujuh orang anaknya.
“Fakhrurazi ajak saya jalan-jalan ke pantai petang semalam. Sepanjang di sana, banyak kami berbual. Rupanya, itulah memori terakhir saya dengannya.
“Pagi tadi, sebelum Fakhrurazi pergi kerja sekitar jam 6 pagi, saya lihat wajahnya muram, tidak seperti kebiasaan. Kemudian, sekitar jam 8 pagi, anak saya memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Isnin.
Sementara itu, kakak angkatnya, Norhayati Ahmad, 41, berkata, Mohd Fakhrurazi pernah menyatakan hasratnya untuk bertunang pada bulan Jun tahun depan.
“Fakhrurazi merancang untuk mengikat tali pertunangan selepas majlis perkahwinan adik saya selesai tahun depan.
“Sifatnya sangat disenangi ahli keluarga. Dia pemurah, penyayang dan selalu mendahulukan ibu,” katanya.
Norhayati memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman di Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Shahrulnizam Johari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Vios dipandu seorang wanita dan sebuah Perodua Bezza dipandu seorang lelaki. Kedua-dua mangsa tersepit dan pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka.
“Kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi.