Dua maut nahas dua kereta

Iklan
Sebuah kereta yang terbalik dalam insiden kemalangan di persimpangan rawatan air SAJ Semangar pada Isnin. - Foto BBP Kota Tinggi.

 

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Dua maut selepas dua kereta bertembung di persimpangan rawatan air SAJ Semangar di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan Khas Untuk Penyandang (KUP) Shahrulnizam Johari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.09 minit pagi.

Katanya, sebaik menerima panggilan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota bomba dikejarkan ke lokasi sejauh 20 kilometer (km).

Iklan

"Setibanya anggota bomba ke lokasi pada jam 7.35 pagi didapati kemalangan tersebut melibatkan dua kereta iaitu Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 47 tahun dengan Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

Keadaan salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - Foto BBP Kota Tinggi

Iklan

"Anggota bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shahrulnozam, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan antara Perodua Bezza dan Toyota Vios yang mengakibatkan dua mangsa maut dalam kemalangan itu.

"Kemalangan pada jam 8 pagi itu berlaku semasa Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 47 tahun datang dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi.

"Toyota Vios berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Dalam kemalangan tersebut kedua-dua pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.