Cadangan dakwa gadis bawah umur ditolak, tiada asas undang-undang – Ahli Parlimen Tebrau

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menolak cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat agar gadis bawah umur turut didakwa dalam kes rogol statutori, dengan menyifatkannya sebagai salah faham serius terhadap undang-undang jenayah seksual di Malaysia.

Naib Pengerusi PKR Johor itu menegaskan, cadangan tersebut mengejutkan dan bercanggah dengan semangat undang-undang serta prinsip perlindungan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

“Menurut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, hubungan seksual dengan gadis di bawah 16 tahun tetap dikira sebagai rogol walaupun dengan ‘persetujuan’. Undang-undang ini wujud kerana kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti sah untuk memberi persetujuan.

“Ia berasaskan hakikat bahawa mereka belum matang dari segi psikologi, kognitif dan pengalaman sosial. Tujuannya bukan menilai kerelaan semata-mata, tetapi menghalang eksploitasi oleh orang dewasa melalui kuasa, usia atau manipulasi emosi,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa Seksyen 375 dengan jelas mendefinisikan rogol hanya sebagai perbuatan seorang lelaki yang melakukan penetrasi terhadap seorang perempuan “against her will”.

“Maka, secara undang-undang, seorang gadis tidak boleh disabitkan dengan kesalahan rogol ke atas lelaki kerana peruntukan ini tidak mengenali wanita sebagai pelaku rogol. Prinsip ini menegaskan bahawa tanggungjawab jenayah diletakkan kepada lelaki dewasa yang berkeupayaan mengeksploitasi, bukan kepada gadis bawah umur yang sepatutnya dilindungi,” katanya.

Iklan

Tambahnya, mendakwa gadis bawah umur sebagai pesalah adalah bertentangan dengan undang-undang, mencabuli prinsip kemanusiaan serta hak kanak-kanak, dan dalam konteks tertentu, menghina perjuangan hak wanita.

“Cadangan ini tiada asas undang-undang dan berpotensi membawa kesan sosial yang berat. Undang-undang ini seharusnya melindungi kanak-kanak, bukan menghukum mereka.

“Walau kelihatan ‘suka sama suka’, kita harus tanya: adakah seorang kanak-kanak benar-benar matang untuk membuat keputusan sedar? Adakah mereka faham kesan fizikal dan emosi? Bolehkah mereka memilih dengan bebas, tanpa paksaan atau pujuk rayu?” soal beliau.

Menurut Jimmy, menjadikan gadis bawah umur sebagai tertuduh adalah satu kesilapan undang-undang dan kegagalan kemanusiaan yang menghantar mesej salah kepada masyarakat.

“Ia akan menambah stigma, menakutkan mangsa untuk tampil ke hadapan, dan menutup pintu keadilan. Kenyataan Yusoff bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menunjukkan salah faham terhadap isu jantina, umur dan kuasa.

“Tugas polis adalah melindungi golongan lemah, bukan menukar mereka menjadi pesalah. Jika tidak dibetulkan, sistem undang-undang akan menjadi sumber ketakutan, bukan perlindungan kepada mangsa,” katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Polis Kelantan mencadangkan agar peruntukan undang-undang sedia ada diteliti semula, khususnya membabitkan kesalahan hubungan seks suka sama suka membabitkan kes bawah umur supaya tindakan tidak hanya dikenakan ke atas lelaki sahaja.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka bukannya paksaan.