PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mencuri perhatian dengan aksi pelik di tepi padang ketika Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal di Stadium Emirates.
Insiden itu berlaku apabila Guardiola dilihat mendekati untuk mencium pipi pengadil keempat, Craig Pawson ketika perlawanan yang berlangsung pada Ahad. Kamera sempat merakam momen tersebut hanya beberapa minit sebelum City melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan.
City terlebih dahulu berada di depan seawal minit kesembilan menerusi penyudah kemas Erling Haaland selepas serangan balas pantas. Anak buah Guardiola ketika itu tampak berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan penting di tempat lawan sebelum adegan pelik berkenaan berlaku.
Rakaman televisyen menunjukkan jurulatih berusia 54 tahun itu memegang muka Pawson sebelum dilihat seolah-olah mahu menciumnya. Pawson bagaimanapun sedikit mengelak, namun rakaman itu segera tular di media sosial dengan pelbagai reaksi terkejut penyokong.
Malah, klip berkenaan hangat dikongsikan dengan segelintir peminat secara berseloroh bertanya sama ada Guardiola cuba ‘mencium pengadil’.
Ketika perlawanan menuju penghujung, perbualan di media sosial lebih banyak berkisar tentang adegan tersebut berbanding aksi di atas padang.
Namun, City akhirnya terpaksa berputih mata apabila Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan pada minit ke-93 selepas menerima lorongan cantik Eberechi Eze, sebelum menolak bola tenang menewaskan Gianluigi Donnarumma untuk mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang menurunkan trio tengah Martin Zubimendi, Declan Rice dan Mikel Merino menyaksikan pasukannya agak sukar mencipta peluang sebelum rehat.
Kemasukan Eze dan Bukayo Saka pada babak kedua nyata memberi lebih tenaga kepada Arsenal yang terus menggandakan asakan mencari gol penyamaan.
City yang beralih kepada formasi lima pertahanan di penghujung permainan masih sempat melancarkan serangan balas menerusi Jeremy Doku, namun gagal memanfaatkan peluang untuk mengesahkan kemenangan.
Gol Martinelli itu bermakna Arteta kini mengekalkan rekod lima perlawanan tanpa kalah menentang Guardiola dalam semua kejohanan.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun ketinggalan dalam perebutan takhta liga apabila Liverpool kini selesa mendahului dengan kelebihan lima mata. City jatuh ke tangga kesembilan dengan tujuh mata, manakala Arsenal kembali menghuni tempat kedua dengan 10 mata daripada lima perlawanan pertama.