ATLET Jepun, Takuto Oshima dan wakil China, Lin Xinyu masing-masing dinobatkan juara kategori elit lelaki dan wanita pada Kejohanan Piala Asia Triathlon (ATC) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Sabtu.
Oshima yang menduduki ranking ke-10 Asia mencatat masa 53 minit 49 saat (s) untuk muncul juara elit lelaki, sekali gus memastikan podium dikuasai sepenuhnya atlet Jepun menerusi Kazushi Jozuka (54:00s) dan Genta Uchida (54:02s).
Kemenangan itu juga merupakan gelaran ketiga Oshima dalam siri ATC selepas kejayaan di Subic Bay, Filipina dan Yilan, Taiwan tahun lalu.
“Ini kali pertama saya berlumba di Malaysia dan cuaca sangat mencabar, namun saya berjaya melaksanakan pelan perlumbaan dengan baik,” kata Oshima, yang menganggap saingan di Putrajaya sebagai persiapan penting menjelang Siri Kejuaraan Dunia Triathlon di Yokohama, Mei depan.
Dalam kategori elit wanita, Xinyu yang menghuni ranking ketiga Asia menang tipis dengan masa 1 jam 00 minit 44 saat, hanya satu saat mengatasi rakan senegara, Lu Meiyi, manakala atlet Jepun, Mako Hiraizumi, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 1 jam 01 minit 11 saat.
“Cuaca panas menjadikan perlumbaan ini sangat mencabar, tetapi kemenangan di Malaysia amat bermakna buat saya,” kata Xinyu, pemenang pingat perak Sukan Asia Hangzhou 2022.
Malaysia turut meraih detik membanggakan apabila Isaac Tan muncul juara kategori lelaki Asia Tenggara (SEA) selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 keseluruhan dengan masa 56:14s, mengatasi juara Sukan SEA Indonesia, Rashif Amila Yaqin (56:22s).
“Menang di laman sendiri satu perasaan yang sangat istimewa dan memberi motivasi untuk terus maju,” kata Isaac.
Bagi kategori wanita Asia Tenggara, atlet Indonesia, Martina Ayu Pratiwi muncul terbaik dengan catatan masa 1 jam 01 minit 49 saat.
Kejohanan ATC Putrajaya 2026 merupakan anjuran Eventure Global dengan sokongan Malaysia Triathlon dan menjadi sebahagian daripada festival sukan dua hari yang melibatkan kategori elit, junior, belia serta kumpulan umur.
Kejayaan penganjuran kejohanan itu sekali lagi meletakkan Putrajaya sebagai antara destinasi utama acara sukan antarabangsa, di samping memperkukuh reputasi Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan triathlon bertaraf Asia.