VIETNAM tampaknya tidak main-main dalam misi menumbangkan skuad Harimau Malaya apabila dilaporkan bakal mempertaruhkan lima pemain naturalisasi baharu menjelang aksi 'hidup mati' Kelayakan Piala Asia, 31 Mac depan.
Laporan media Vietnam mendedahkan, lima pemain tersebut ialah Gustavo Sant'Ana, Hendrio Araujo, Patrik Le Giang, Janclesio Almeida dan Geovane Magno yang kini berada di peringkat akhir bagi melengkapkan proses naturalisasi selepas menetap lima tahun di negara berkenaan.
Iklan
Iklan
Kehadiran muka baharu ini dijangka memperkukuhkan segenap posisi skuad Naga Emas itu, khususnya di bahagian benteng pertahanan yang bakal menyaksikan gandingan Gustavo bersama Janclesio.
Dalam pada itu, portal DanViet turut melaporkan bahawa proses naturalisasi penyerang berbisa, Geovane Magno bakal dimuktamadkan segera dan pemain kelahiran Brazil itu akan dikenali dengan nama tempatan, Nguyen Tai Loc.
Langkah agresif ini jelas memperlihatkan kesungguhan Vietnam yang sebelum ini sudah pun memiliki dua pemain naturalisasi iaitu Nguyen Xuan Son dan Jason Quang Vinh Pendant, selain penjaga gol berdarah warisan, Nguyen Philip demi memastikan kemenangan mutlak milik mereka.
Pertembungan pada 31 Mac nanti merupakan aksi terakhir Kumpulan F yang disifatkan cukup kritikal bagi kedua-dua pasukan untuk menempah slot automatik ke pusingan seterusnya.
Skuad Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan selesa selaku pendahulu kumpulan dengan memungut 15 mata, meninggalkan Vietnam di tangga kedua dengan perbezaan tiga mata.